Ranking dunia bantu Speedy Tigers layak ke Piala Dunia

Ranking dunia bantu Speedy Tigers layak ke Piala Dunia


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Speedy Tigers secara tidak rasmi sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belanda-Belgium tanpa perlu menunggu perlawanan menentang Jepun dalam penentuan tempat ketiga/keempat.

Situasi ini terjadi selepas mengambil kira ranking semasa, iaitu Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 dunia dan ia lebih tinggi daripada kesemua pasukan termasuk dalam satu lagi aksi penentuan tempat ketiga/keempat pada kelayakan di Chile yang menemukan Wales menentang Poland.

Berdasarkan ranking semasa daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia berada di kedudukan ke-14, diikuti Wales (15), Jepun (17) dan Poland (20).

Untuk layak ke Piala Dunia 2026, pasukan di tempat ketiga akan memperoleh tiket automatik manakala pasukan yang berada di tempat keempat turut akan layak berdasarkan ranking pasukan yang lebih tinggi.

Ini bermakna tiket Malaysia tidak akan terjejas meskipun tewas dalam perlawanan menentang Jepun namun itu bukanlah apa yang dicari oleh anak buah Sarjit Singh kerana mereka sudah pasti ingin menutup kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kedudukan terbaik.

Untuk rekod, sebanyak tujuh slot ditawarkan dan empat pasukan sudah mengesahkan tempat di Belanda-Belgium apabila Perancis akan menentang Ireland, sementara England bertemu Pakistan di pentas final untuk menentukan kejuaraan bagi pusingan kelayakan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menyertai Piala Dunia adalah pada 2023 dan menamatkan kejohanan di tempat ke-13 daripada 15 pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top