Ranking Harimau Malaya melonjak enam anak tangga, kini di kedudukan ke-125 dunia

Ranking Harimau Malaya melonjak enam anak tangga, kini di kedudukan ke-125 dunia


Ranking Harimau Malaya melonjak selepas tundukkan Vietnam baru-baru ini. FOTO: BERNAMA

KEDUDUKAN ranking skuad Harimau Malaya melonjak enam anak tangga apabila kini menghuni tangga ke-125 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan pada Khamis.

Kemas kini terdahulu pada 3 April lalu, skuad kendalian Peter Cklamovski berada di tangga ke-131 dunia, namun kejayaan membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lepas memberi impak besar kepada kedudukan Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih tambahan 14.91 mata, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kutipan mata negara kini sebanyak 1,138.48.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya bakal menyertai kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

Dalam kejohanan itu, Malaysia dijangka berdepan beberapa pasukan dengan kedudukan ranking lebih tinggi, sekali gus memberi peluang untuk menambah mata ranking jika mencatat kemenangan.

Seterusnya, skuad negara akan kembali meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia dengan aksi menentang Laos di gelanggang lawan pada 9 Oktober depan.

Berdasarkan kalendar semasa, kemas kini seterusnya ranking dunia FIFA akan dilakukan pada 18 September depan.



Source link

OR

Scroll to Top