Ranking Sze Fei-Nur Izzuddin jatuh, Aaron-Wooi Yik kini beregu utama negara

Ranking Sze Fei-Nur Izzuddin jatuh, Aaron-Wooi Yik kini beregu utama negara


Aaron (kanan) dan Wooi Yik kembali memegang status beregu lelaki utama negara. Foto Agensi.

AARON Chia-Soh Wooi Yik kembali menjadi beregu lelaki utama negara selepas ‘merampas’ kedudukan tersebut daripada pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Perkembangan tersebut dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi kemas kini ranking pada Isnin.

Perubahan kedudukan tersebut berlaku selepas Aaron-Wooi Yik kekal berada di tangga kedua dunia, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin tergelincir dua anak tangga jatuh ke tempat ketiga.

Status nombor satu dunia diambil alih oleh pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae yang muncul juara Terbuka Jepun di Tokyo pada Ahad selepas menumpaskan Sze Fei-Nur Izzuddin secara straight set.

Mengulas perkembangan tersebut, Nur Izzuddin enggan mengambil pusing situasi tersebut, sebaliknya hanya mahu fokus meningkatkan prestasi permainan.

“Kami akan mempersiapkan diri dengan lebih baik pada masa akan datang dan hanya akan fokus pada diri sendiri,” katanya.

Sebagai rekod, Sze Fei-Nur Izzuddin memegang takhta nombor satu dunia sejak Mei lalu.

Naib juara Terbuka Jepun 2025, Pearly Tan-M Thinaah pula kekal di kedudukan ketiga dunia.

Bagi kategori perseorangan lelaki pula, Leong Jun Hao kekal sebagai pemain utama negara, namun kedudukannya tergelincir dua anak tangga jatuh ke nombor 26 dunia.

Pemain profesional, Lee Zii Jia yang masih dalam proses pemulihan kecederaan buku lali kaki kanan terus menjunam ke tangga ke-33, jatuh daripada kedudukan ke-27 sebelum ini.

Dalam pada itu, beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai masing-masing kekal di tempat keempat dan keenam dunia.



Source link

OR

Scroll to Top