Kesebelasan utama Harimau Malaya yang diturunkan pada perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
SKUAD Harimau Malaya dijangka akan terus mendaki dalam ranking dunia selepas mencatat dua kemenangan penting dalam aksi persahabatan antarabangsa bulan ini.
Menurut kiraan tidak rasmi, skuad kendalian Peter Cklamovski itu dijangka melonjak lima anak tangga ke kedudukan ke-120 dunia berbanding ranking ke-125 yang diduduki sebelum ini.
Peningkatan ini hadir selepas Harimau Malaya mengutip keseluruhan 9.75 mata hasil daripada dua perlawanan persahabatan yang berlangsung di tanah air.
Pada aksi pertama, Malaysia berjaya mengutip 3.86 mata selepas menewaskan seteru serantau, Singapura 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu.
Harimau Malaya kemudian melakar kejutan lebih manis apabila menundukkan Palestin, pasukan yang berada di ranking ke-98 dunia dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin malam.
Kemenangan itu menyumbangkan tambahan 5.89 mata sekali gus melonjakkan peluang Malaysia memperbaiki kedudukan dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Jika perkiraan ini tepat, Malaysia bakal mengatasi pencapaian terbaik dalam tempoh dua dekad apabila berada di ranking 123 dunia pada 16 Disember 2005.
Untuk rekod, kedudukan paling tertinggi pernah dihuni skuad Harimau Malaya adalah pada 1993 ketika pertama kali FIFA memperkenalkan sistem ranking di mana Malaysia menghuni tangga ke-75 dunia di bawah bimbingan Ken Worden pada waktu itu.
Selepas aksi jendela antarabangsa bulan ini, skuad negara akan meneruskan misi layak ke Piala Asia 2027 apabila dijadual berdepan Laos dua kali pada bulan depan, dengan aksi di tempat lawan sebelum bermain di gelanggang sendiri beberapa hari selepas itu.
Ketika ini, Malaysia memimpin carta Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut dan kemenangan ke atas Laos akan mengukuhkan laluan ke pusingan akhir di Arab Saudi nanti.