Sivasangari. Foto Bernama
BINTANG skuasy negara, S Sivasangari meneruskan momentum cemerlang di pentas antarabangsa apabila naik dua anak tangga untuk menduduki tangga keenam dunia, kedudukan tertingginya dalam ranking terkini Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang diumumkan pada Isnin.
Pemain berusia 26 tahun dari Kedah itu melonjak ke posisi berprestij berkenaan susulan aksi cemerlangnya muncul naib juara Kejohanan Terbuka Silicon Valley, kejohanan bertaraf PSA Gold yang berlangsung di Redwood City, California, minggu lepas.
Dalam laluan ke final, Sivasangari menewaskan pemain Mesir, Kenzy Ayman; wakil Amerika Syarikat, Amanda Sobhy serta Salma Hany dari Mesir, sebelum tunduk kepada pemain tuan rumah yang juga juara bertahan, Olivia Weaver.
Pencapaian itu menyaksikan Sivasangari memintas pemain Jepun, Satomi Watanabe dan wakil Belgium, Tinne Gilis, sekali gus menempatkan dirinya dalam kelompok enam terbaik dunia buat julung kalinya.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Rachel Arnold turut memperbaiki kedudukannya apabila naik satu anak tangga ke ranking ke-19 kategori wanita.
Bagi saingan lelaki, pemain nombor satu negara, Ng Eain You mengekalkan kedudukan di ranking ke-12 dunia. – Bernama
Ringkasan AI
- S Sivasangari naik dua anak tangga ke tangga keenam dunia ranking terkini Persatuan Skuasy Profesional
- Melonjak ke posisi berprestij susulan aksi cemerlang menjadi naib juara Kejohanan Terbuka Silicon Valley
- Menewaskan pemain Mesir Kenzy Ayman, Amerika Syarikat Amanda Sobhy, dan Salma Hany dari Mesir di laluan ke final
- Memintas pemain Jepun Satomi Watanabe dan wakil Belgium Tinne Gilis
- Rachel Arnold turut memperbaiki kedudukan ke ranking ke-19 kategori wanita