Zii Jia kini berada di ranking kesembilan dunia.
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, berisiko terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia susulan kecederaan yang dialaminya sejak Disember lalu.
Biarpun sudah kembali ke saingan kompetitif dengan menyertai Masters Orléans dan Kejohanan Seluruh England, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu masih belum mencapai prestasi terbaiknya.
Perjalanan Zii Jia dalam Masters Orléans tersekat di peringkat suku akhir, manakala di Kejohanan Seluruh England, dia tersingkir seawal pusingan pertama.
Susulan prestasi hambar itu, pemain berasal dari Alor Setar, Kedah, tersebut tergelincir dua anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia dengan 76,415 mata.
Malah, Zii Jia juga terpaksa menarik diri daripada Terbuka Swiss bagi memberi fokus kepada proses pemulihan kecederaan pada ligamen buku lalinya.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut mengalami nasib yang sama apabila masing-masing tergelincir satu anak tangga dalam ranking dunia.
Berdasarkan ranking yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Isnin, Aaron-Wooi Yik kini menghuni tangga keenam, manakala Wei Chong-Kai Wun berada di kedudukan kelapan dunia.
Bagi kategori beregu, status beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kekal di tangga kedua.
Turut mengekalkan kedudukan masing-masing ialah beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah (kelima), serta dua pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai (ketiga) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (keempat).