Raphinha idam akhiri karier di Barcelona

Raphinha idam akhiri karier di Barcelona


PEMAIN sayap sensasi Brazil, Raphinha, meluahkan hasrat untuk menamatkan kariernya di Barcelona selepas menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkannya bersama kelab gergasi La Liga Sepanyol itu sehingga tahun 2028.

Pemain berusia 28 tahun itu tampil cemerlang musim ini apabila mencetak 34 gol dan 25 bantuan jaringan dalam 56 penampilan, sekali gus membantu skuad kendalian Hansi Flick meraih treble domestik – La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.

“Ia satu perkara yang sangat istimewa, dan rasa seperti sebahagian daripada keluarga Barca untuk tempoh lebih lama membuatkan saya amat gembira…

“Saya pernah beritahu keluarga saya sebelum ini bahawa impian saya adalah untuk terus kekal di sini sehingga tamat karier, dan saya berharap dapat merealisasikannya pada tahap terbaik saya,” kata Raphinha yang sebelum ini mempunyai kontrak hingga 2027.

Sebagai rekod, Raphinha menyertai Barcelona pada tahun 2022 dari Leeds United selepas meledak 17 gol dalam dua musim beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Namun, dua musim pertamanya di Sepanyol menyaksikan beliau hanya menjaringkan 13 gol liga, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin dijual susulan isu kewangan yang melanda kelab.

Namun, musim 2024-25 menyaksikan kebangkitan luar biasa apabila Raphinha meledak 18 gol untuk membantu Barca merangkul kembali kejuaraan La Liga.

Beliau turut menyumbang 13 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara yang menyaksikan Barcelona mara ke separuh akhir, sekali gus menarik minat kelab-kelab besar di Liga Perdana Inggeris dan Arab Saudi.

Rentetan prestasi cemerlang musim ini, Raphinha turut disebut-sebut sebagai calon untuk anugerah Ballon d’Or bersama rakan sepasukan, Lamine Yamal (Sepanyol) dan penyerang Paris Saint-Germain, Ousmane Dembele (Perancis).

Lebih membanggakan, beliau turut dipilih sebagai salah seorang daripada lima ketua pasukan Barcelona musim ini bersama Marc-André ter Stegen, Ronald Araújo, Frenkie de Jong dan Pedri.

“Kini saya bukan sekadar Raphinha si pemain bola, saya juga seorang ayah dan seorang kapten…

“Tanggungjawab saya lebih besar berbanding ketika saya tiba dahulu, tetapi seiring masa, kita semakin matang dan saya rasa saya telah banyak berubah sejak tiba di sini.

“Tapi saya rasa saya masih boleh menjadi lebih baik, dan dengan bantuan semua orang, saya berharap dapat menjadi insan dan pemain bola sepak yang lebih hebat,” katanya.

“Saya ingin terus menjaringkan banyak gol, membuat bantuan jaringan dan yang paling penting, memenangi lebih banyak kejuaraan dengan jersi ini. Itulah matlamat peribadi saya,” ujar Raphinha lagi.

Barcelona akan menamatkan musim mereka dengan aksi menentang Athletic Bilbao pada Isnin ini.



Source link

OR

Scroll to Top