am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rapid KL melancarkan tren dan bas bertemakan ikon animasi tempatan ‘Mechamato’ yang berkolaborasi bersama Monsta Studios bertujuan menarik minat generasi muda.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd, Nor Azmi Mohd Yusof, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja mampu menarik perhatian generasi muda tetapi turut memupuk kesedaran awal tentang pentingnya penggunaan pengangkutan awam.
“Kami berharap pelancaran tren dan bas Mechamato ini akan menggalakkan generasi muda serta keluarga menggunakan pengangkutan awam sambil menikmati pengalaman menyeronokkan khususnya kanak-kanak.
“Sebanyak tiga tren dan tiga bas dihias dengan reka bentuk bertemakan Mechamato,” katanya semasa Majlis Pelancaran Tren dan Bas Bertemakan Mechamato di Stesen Monorel Hang Tuah, hari ini.
Menurutnya, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) yang ditawarkan oleh Rapid KL, termasuk bas dan tren direka untuk memudahkan akses kepada semua golongan.
“Kami ingin memastikan tiada diskriminasi terhadap OKU. Watak dalam animasi Mechamato sendiri turut menampilkan karakter berkerusi roda, yang menunjukkan mesej inklusif kepada masyarakat.
“Kami secara konsisten menjalinkan kerjasama dengan persatuan OKU dan terus berusaha memperkenalkan pengangkutan awam kepada pelajar pendidikan khas melalui pendekatan animasi dan aktiviti menarik,” katanya.
Nor Azmi berkata pengguna pengangkutan awam yang membeli pas harian MyCity boleh menyertai aktiviti Ride & Catch: Robot Hunt with Mechamato dan membolehkan peserta mengumpul cop di stesen terpilih.
“Dengan mengumpul sekurang-kurangnya 12 cop dari 15 stesen, pengguna berpeluang menebus hadiah eksklusif MechaTrain selepas memburu robot jahat bermula dari 7 Januari sehingga 31 Mei 2025,” katanya.
Turut hadir, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2)
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Monsta Studios Sdn Bhd, Kee Yong Pin berkata pihaknya berasa teruja apabila diberi peluang oleh Rapid KL untuk menjayakan projek berkenaan.
“Saya difahamkan ini adalah kali pertama kempen dijalankan. Sudah semestinya sesuatu perkara yang kita boleh banggakan.
“Walaupun hari ini, kempen bermula secara rasmi, tetapi terdapat peminat dan keluarga sudah mula membawa anak mereka menaiki bas, monorel dan transit aliran ringan (LRT) yang berkolaborasi khas itu sebagai aktiviti hujung minggu,” katanya.
Menurutnya, melalui kempen terbabit, Mechamato akan menjadi duta untuk menggalakkan lebih ramai keluarga menggunakan pengangkutan awam bersama anak-anak mereka, terutamanya sempena cuti sekolah.
“Kami memperkenalkan Mekatrain iaitu LRT, Monorel, dan bas sebagai platform untuk aktiviti menarik ini, di mana peserta dapat menangkap robot bersama Mechamato,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd