‘Rasa macam muda semula’ – Sanusi sertai legenda Kedah lawan Singapura

‘Rasa macam muda semula’ – Sanusi sertai legenda Kedah lawan Singapura


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui berasa seperti kembali ke zaman muda apabila berpeluang beraksi bersama barisan legenda Kedah era 1990-an menentang Singapura pada malam Sabtu.

Menurut beliau, kesempatan menyertai perlawanan bola sepak Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 di Stadium Langkawi merupakan pengalaman cukup bermakna dan sukar dilupakan.

“Usia (saya) kini mencecah 52 tahun berbanding 19 tahun ketika menyaksikan kejayaan Kedah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1993.

“(Beraksi bersama mereka) saya rasa saya muda, cuma tak boleh ‘beat’ pertahanan Singapura sebab dia cergas dan tinggi.

“Tapi saya rasa teruja di usia yang sudah tua ini dapat main dengan mereka. Mereka pun tua juga, tetapi mereka ada ‘skill’ lagi,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata, sekiranya berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu, mungkin beliau juga layak digelar legenda.

Perlawanan nostalgia yang menghimpunkan semula legenda Kedah dan Singapura itu menyaksikan pasukan republik tersebut menang 2-1 menerusi jaringan Saswadimata Dasuki dan Lim Tong Hai.

Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama barisan bekas pemain Kedah 1993 di Stadium Langkawi pada Sabtu.

Namun, keputusan itu sekadar aksi ulangan kepada final Piala Malaysia 1993 yang menyaksikan Kedah muncul juara selepas menewaskan Singapura 2-0 hasil jaringan Radhi Mat Din dan Lee Kin Hong di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Aksi penuh nostalgia itu turut menyaksikan hampir 10,000 penonton membanjiri Stadium Langkawi bagi mengimbau kembali kegemilangan bola sepak era 1990-an.

Turut beraksi bersama legenda Kedah ialah Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim dan bekas kapten Kedah, Radhi Mat Din selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar.

Muhammad Sanusi berkata, penganjuran perlawanan itu memberi peluang kepada generasi muda mengenali tokoh-tokoh sukan yang pernah mencipta nama dan mengharumkan negeri suatu ketika dahulu.

“Sekurang-kurangnya orang muda kenal siapa pemain tahun 1993. Semua adalah legenda bola sepak yang pernah mengharumkan nama negeri pada satu masa dahulu.

“Saya harap mereka terus sihat dan dapat menjalani usia 50 hingga 60 tahun ini dalam keadaan baik kerana mereka semua bekas atlet,” ujarnya.

Beliau turut berharap bekas pemain tersebut dapat dijadikan contoh dan idola oleh golongan muda supaya lebih aktif bersukan.

“Saya harap mereka jadi idola kepada anak-anak muda sekarang supaya bermain di padang. Janganlah main dalam bilik.

“Main bola ini sebenarnya main di padang, bukan main di telefon bimbit. Itu bukan bola,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Zuraidi berkata, perlawanan itu permulaan pihaknya membantu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di Kedah terutama dalam soal pembangunan bakat.

Menurutnya, pemilihan Langkawi sebagai lokasi perlawanan berbanding Stadium Darul Aman juga dapat meningkatkan sektor economi pelancongan pulau peranginan itu.

“Saya beritahu Menteri Besar bahawa Kedah akan ada satu anjakan terbaik dalam konteks bola sepak di negeri ini melihat kepada kehadiran ribuan penduduk Langkawi yang dahagakan hiburan berbentuk sukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top