Rasa seakan menceroboh privasi kami – Nad Zainal

Rasa seakan menceroboh privasi kami – Nad Zainal


KUALA LUMPUR : Pelakon versatil, Nad Zainal, 36, mendedahkan dia pada awalnya menolak idea untuk memiliki pembantu rumah kerana tidak selesa dengan kehadiran orang luar di dalam kediaman sendiri.

Menurut Nad, prinsip tersebut dipegang kerana bimbang soal privasi keluarga selain rasa kurang percaya untuk menyerahkan tanggungjawab menjaga anak kepada individu lain.

“Saya pernah bercita-cita untuk tak mahu ada pembantu rumah. Saya tak percaya nak biarkan orang lain jaga anak saya.

“Saya juga tak suka ada orang luar dalam rumah sebab rasa macam menceroboh privasi kami suami isteri,” katanya di Instagram.

Bagaimanapun, kata Nad, segalanya berubah apabila tahap kesihatannya merosot teruk pada tahun 2022.

Menurutnya, dalam keadaan itu, suaminya, pelakon, Ungku Ismail, membuat keputusan mendapatkan seorang pembantu rumah bagi meringankan urusan keluarga.

“Sebenarnya saya ni memang tak suka ada orang lain di rumah. Tapi bila tengok Puteri datang, dia menyenangkan.

“Dia bukan jenis banyak cakap atau bertanya macam-macam. Dia ada di waktu saya perlukan dan tahu bila saya penat atau sedih.

“Bagi saya, Puteri bukan sekadar pembantu rumah biasa, sebaliknya hadir sebagai teman yang memahami emosi saya.

“Dia jaga Budi dan Yem anak saya sangat baik. Ketika itu saya mengandung dan ada bayi kecil, tapi dia sangat bagus uruskan segalanya. Allah betul-betul mudahkan urusan saya melalui Puteri,” katanya.

Kongsi Nad lagi, kehadiran wanita berkenaan sebagai pembantunya selama dua tahun melengkapkan kehidupannya pada waktu itu.

“Bukan apa, ramai yang dapat pembantu rumah, dua atau tiga bulan dah lari, tapi Alhamdulillah, Puteri setia sampai dah balik ke Indonesia.

“Walaupun dia sudah pulang, kami masih berhubungan baik sampai sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nad menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum mengambil pembantu rumah dan tidak terburu-buru membuat pilihan.

“Kalau nak ambil pembantu rumah, dengar dulu pengalaman orang lain. Jangan main ambil sahaja daripada mana-mana agensi.

“Sekurang-kurangnya kena tahu testimoni yang baik,” ujarnya.- UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top