Peminat makanan pedas dan berempah pasti teruja dengan kehadiran jenama hot pot terkenal dari Melbourne, Dragon Hot Pot, yang kini membuka cawangan pertamanya di Low Yat Park, Bukit Bintang. Terletak di tengah ibu kota dengan keluasan lebih 2,600 kaki persegi, restoran ini memperkenalkan pengalaman malatang yang popular di Australia, menampilkan rasa pedas, aromatik dan hangat yang membangkitkan selera.
Majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung, yang menyifatkan kehadiran Dragon Hot Pot sebagai pelengkap kepada industri pelancongan dan gastronomi tempatan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurutnya, pembukaan restoran antarabangsa seperti ini seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor pelancongan menerusi peruntukan RM700 juta, termasuk dana khas RM500 juta bagi menjayakan VM2026. Inisiatif potongan cukai bagi rakyat yang melancong dalam negara turut dijangka merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Pelancaran Dragon Hot Pot Malaysia turut mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai “Jenama Hotpot Mala dari Australia dengan Pilihan Bahan dan Asas Sup Terbanyak di ASEAN”. Dengan lebih 162 pilihan bahan segar di rak layan diri dan 10 jenis asas sup, pelanggan boleh mencipta kombinasi rasa tersendiri mengikut cita rasa masing-masing.
Pengasas Dragon Hot Pot Malaysia, Louis Kuo, berkata matlamat utama mereka adalah menjadikan hidangan hot pot lebih mudah dinikmati semua golongan.
“Kami mahu mengubah tanggapan bahawa hot pot hanya sesuai untuk sesi makan panjang. Di kota sibuk seperti Kuala Lumpur, kami ingin tawarkan pilihan yang lebih fleksibel dan cepat tanpa menjejaskan rasa,” katanya.
Rahsia utama keunikan Dragon Hot Pot terletak pada asas sup yang dimasak perlahan selama 12 jam menggunakan ayam tua, lebih 20 jenis herba Cina dan lada Sichuan asli berpandukan resipi tradisional berusia ratusan tahun.
Di Malaysia, semua operasi dan menu disediakan secara mesra Muslim, dan pihak pengurusan kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal JAKIM.
Malaysia merupakan pasaran keempat selepas kejayaan di Australia, Indonesia dan Vietnam, dengan Jepun dijangka menyusul tahun hadapan. Dalam tempoh dua tahun, Dragon Hot Pot merancang untuk membuka lima hingga enam lagi cawangan baharu di sekitar Lembah Klang dan bandar utama lain.
Majlis pelancaran berlangsung meriah dengan persembahan tarian singa, tarian kipas tradisional Cina serta persembahan istimewa daripada STEADYGANG dan Diana Danielle.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, Dragon Hot Pot menawarkan promosi pembukaan khas sepanjang Oktober ini. Dari 18 hingga 20 Oktober, pelanggan menerima 300 gram hidangan percuma, manakala 21 hingga 31 Oktober, mereka yang berbelanja RM25 ke atas berpeluang memenangi hadiah menarik seperti iPad, AirPods, koleksi eksklusif Labubu, baucar makan dan hadiah utama makan percuma selama setahun di Dragon Hot Pot.
Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, ikuti Dragon Hot Pot Malaysia di Instagram, Facebook dan Rednote (@DragonHotPot_MY).