BUKAN sekadar pesta makanan dan jualan, Selangor HalalVibe Fest 2025 by Selhac (Selangor International Halal Convention) bakal membawa pengalaman gaya hidup halal lebih segar dan inklusif kepada semua bermula 27 hingga 30 November depan.
Dalam program yang berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, Selangor dengan tema ‘Satu pentas, peluang tanpa batas, halal untuk semua’, ia menghimpunkan lebih 300 usahawan daripada pelbagai segmen.
Antaranya sektor makanan dan minuman, fesyen, kosmetik, logistik, pelancongan, pendidikan, forum ilmiah dan hiburan keluarga.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, penganjuran HalalVibe Fest adalah langkah strategik negeri untuk memperkukuh ekosistem halal sebagai agenda ekonomi utama.
“Ekonomi halal dunia telah mencecah AS$2.3 trilion (RM9.69 trilion) pada tahun 2023 dan dijangka melepasi AS$5 trilion (RM21.07 trilion) menjelang 2030.
“Di Selangor sahaja, kita memiliki 8,313 pemegang sijil halal aktif, iaitu 29.92 peratus daripada jumlah keseluruhan 27,775 pemegang sijil halal aktif di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Mohammad Fahmi menjelaskan, HalalVibe Fest bukan sekadar acara pameran, tetapi wadah memperkasa industri halal negeri agar lebih berdaya saing, selain membuka laluan kepada Selangor menjadi hab halal serantau dan global.
Festival yang menyasarkan 30,000 pengunjung itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Fun Run, sukan rakyat, pertandingan memasak, zoo mini dan persembahan pentas, menjadikannya platform gaya hidup halal yang santai, inklusif dan sesuai untuk seisi keluarga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS), Muhammad Khushairi Mat Lasar berkata, HalalVibe Fest 2025 bakal menjadi pemangkin transformasi industri halal negeri ke arah masa depan yang lebih kompetitif.
“Malaysia telah mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.
“HalalVibe Fest akan membuka peluang pasaran baharu, memperluas jaringan strategik dan memupuk inovasi produk halal Selangor,” katanya.
Majlis prapelancaran festival itu diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.






