Rashford kini bahagia di Barca

Rashford kini bahagia di Barca


London: Pengurus Barcelona, Hansi Flick berkata, Marcus Rashford kini menikmati kehidupan baharu termasuk cuaca panas di Sepanyol selepas perpindahan pinjaman dari kelab lamanya, Manchester United.

Penyerang England itu pulih daripada demam selesema memaksa dia terlepas aksi kemenangan 4-0 ke atas Athletic Bilbao pada Sabtu, dan kini bersedia untuk perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi esok.

Empat daripada enam gol Rashford bersama Barca setakat ini hadir dalam Liga Juara-Juara, termasuk dua gol ketika kunjungan pasukan itu ke England menentang Newcastle pada September.

Perpindahan ke Sepanyol banyak membantu Rashford, 28, menghidupkan semula kariernya yang sebelum ini merudum di Old Trafford.

“Saya gembira dia bersama kami di Barca,” kata Flick pada Isnin. “Saya mengikuti keseluruhan kariernya dan sentiasa kagum dengan kualiti serta apa yang dia boleh lakukan di dalam kotak penalti, dan kini dia menunjukkannya di Barcelona.

“Perubahan itu membantu dia, bola sepak baharu, di Barcelona dengan cuaca yang baik. Bagi saya, sangat seronok melihat dia sentiasa tersenyum. Itu suasana dalam pasukan dan ia sangat baik untuk dirinya.”

Barca dan Chelsea kini terikat dengan tujuh mata selepas empat perlawanan Liga Juara-Juara musim ini ketika mereka memburu kelayakan terus ke pusingan 16 terbaik, yang memerlukan kedudukan dalam lapan teratas.

Tugas Flick turut dipermudahkan dengan kepulangan Raphinha daripada kecederaan. Pemain sayap itu membuat penampilan pertama dalam hampir dua bulan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Sabtu lalu.

“Sedikit demi sedikit dengan Raphinha,” kata Flick. “Yang penting bagi saya ialah dia sudah kembali. Soal minit permainan, kita akan tentukan.

“Dia mengalami kecederaan yang sama dua kali, dan itu bukan sesuatu yang baik pada tahap ini, jadi kita akan berhati-hati.

“Saya sangat gembira dia kembali kerana sebaik sahaja dia masuk beraksi pada Sabtu, kita dapat lihat perbezaannya. Dinamikanya, ruang yang dia cipta, dan saya sangat gembira memilikinya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top