PENGENDALI Aston Villa, Unai Emery menyuarakan kegembiraan apabila melihat penyerang berbisa, Marcus Rashford, kembali semula ke prestasi terbaiknya sebelum ini.
Pemain pinjaman dari Manchester United itu dilihat sedang menikmati sentuhan terbaiknya sejak beberapa minggu kebelakangan ini di bawah bimbingan jurulatih dari Sepanyol berkenaan.
Sejak menjejakkan kaki ke Villa Park dari Old Trafford, Rashford telah menunjukkan prestasi yang memukau buat penyokong The Villans.
Kini, pemain berusia 27 tahun itu bersedia untuk berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, selepas berjaya menjaringkan tiga gol dan empat bantuan gol dalam tempohnya di Midlands.
Kelab Ligue 1 Perancis itu, yang sudahpun mengesahkan kejuaraan liga, akan menerima kunjungan Villa di Parc des Princes pada Khamis, dan Rashford berpotensi menjadi ancaman utama buat Les Parisiens kendalian Luis Enrique.
Perkembangan positif merupakan satu perubahan drastik buat pemain bintang itu yang sebelum ini gagal menembusi skuad utama di bawah kendalian Ruben Amorim.
Pemain antarabangsa England itu melalui tempoh yang sukar di bawah jurulatih dari Portugal berkenaan dan diletakkan dalam senarai pemain yang boleh dijual pada jendela perpindahan Januari.
Biarpun perpindahan ke kelab-kelab seperti Barcelona tidak menjadi kenyataan, pinjaman ke Aston Villa setakat ini ternyata membuahkan hasil yang positif.
Malah, Emery jelas gembira dengan kehadiran Rashford dalam skuadnya, percaya beliau mampu untuk terus berkembang.
“Dia seorang yang baik – rendah hati, seorang profesional yang bagus, dan dia sangat gembira bersama rakan sepasukannya.
“Dia sentiasa menuntut yang terbaik daripada dirinya dan dalam semua aspek yang kami ingin usahakan bersamanya, bersama pasukan.
“Prosesnya di sini semakin baik, bermain dalam dua posisi yang berbeza. Dia bermula dengan kami sebagai pemain sayap kiri dan kini dia lebih kerap bermain sebagai penyerang. Ia mengenai bagaimana dia boleh memanfaatkan kualiti-kualitinya sebaik mungkin di sini,” tambah Emery.
Pengendali United, Ruben Amorim sebelum ini mengakui tidak dapat membuat Rashford berlatih seperti diharapkannya menyaksikan produk akademi itu meninggalkan Old Trafford.
“Apa yang boleh saya katakan adalah saya tidak dapat membuat Marcus bermain bola sepak dan berlatih dengan cara yang saya mahukan.
“Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk Rashford dan Unai Emery, dan semoga mereka dapat berhubung kerana dia adalah pemain yang sangat bagus,” seperti yang saya lihat,” kata Amorim pada Februari lalu.
LIGA JUARA-JUARA
SUKU AKHIR PERTAMA
KHAMIS (10 APRIL)
Barcelona lawan Borussia Dortmund
(Estadi Olímpic Lluís Companys, 3 pagi)
Paris Saint-Germain lawan Aston Villa
(Parc des Princes, 3 pagi)