[RASMI] BN menang bergaya PRK Kinabatangan, DUN Lamag

[RASMI] BN menang bergaya PRK Kinabatangan, DUN Lamag


am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag apabila kedua-dua calon yang dipertaruhkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu.

Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin apabila tampil dengan kemenangan bergaya selepas memperoleh 19,852 undi, iaitu majoriti 14,214.

Pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau tewas apabila cuma mendapat 5,638 undi, manakala seorang lagi Goldam Hamid (Bebas) memperoleh 946 undi.

Bagi kerusi DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayob memenangi pertarungan satu lawan satu menerusi 7,269 undi, berbanding pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang meraih 1,588 undi.

Pengumuman keputusan rasmi itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag, di sini malam tadi.

Seramai 48,526 pengundi layak mengundi bagi PRK itu, yang membabitkan 36 pusat mengundi serta 119 saluran termasuk satu undi pos dan satu undi awal.

PRK diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu, iaitu kurang seminggu selepas beliau memenangi kerusi DUN Lamag dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November 2025.

Pada PRN itu, Bung Moktar mengekalkan kemenangan dua penggal di DUN Lamag selepas menang dengan 152 undi dalam saingan lima penjuru, manakala kerusi Parlimen Kinabatangan dipertahankannya sejak enam penggal bermula Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada 1999.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top