July 27, 2024

Rasuah bukan sekadar cakap politik, kerajaan tak campur tangan – Anwar

Rasuah bukan sekadar cakap politik, kerajaan tak campur tangan – Anwar


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan proses undang-undang di negara perlu mengambil masa dan bebas daripada campur tangan mana-mana pihak.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, proses itu perlu dihormati semua walaupun ada dalam kalangan rakyat yang membangkitkannya mengapa ia masih bermaharaja lela.

“Mengapa tidak kerajaan segera menghukum mereka? Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak.

“Kerajaan tidak akan masuk campur proses kehakiman dan beri ruang sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperhebat usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara habis-habisan. Selain itu, peranan Jabatan Audit Negara juga diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Negara yang disiarkan di semua media tempatan secara langsung di kaca televisyen di sini malam ini.

Anwar menambah, beliau berkali-kali menyebut isu rasuah biar pun mungkin ada yang memandang remeh bahawa ini hanya sekadar cakap politik.

“Tetapi jelas beliau akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari bahawa kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah.

“Tender terbuka dalam projek Rancangan Tebatan Banjir mampu jimat wang rakyat sehingga RM2 bilion.

“Sindiket penyeludupan di pintu masuk negara oleh sekelumit kecil pegawai awam berjaya ditumpaskan yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan OPS TIRIS bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan.

“Kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.

“Maka apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita? Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top