harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Rasuah ibu segala jenayah, tanpa rasuah jenayah lain tidak dapat dilaksanakan,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Katanya, pemerkasaan tatakelola, integriti dan anti rasuah adalah agenda utama pihaknya dalam membentuk sebuah Malaysia yang bebas rasuah.
Menurutnya, SPRM tegas dalam mengambil tindakan tanpa kompromi menggunakan kaedah-kaedah baharu dalam menangani isu rasuah bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap agensi itu.
“Selaras dengan penubuhan SPRM, lima mekanisme tanggungjawab diwujudkan yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi serta peranannya.
“Kelima-lima badan bebas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Terbuka Siri 43 Bil. 3 Tahun 2025 hari ini.
Beliau berharap setiap peserta CeIO dapat menjadi duta membudayakan integriti dan tatakelola baik serta mencegah rasuah di jabatan masing-masing.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir yang berpendapat generasi baharu bebas rasuah perlu dilahirkan menerusi usaha semua pihak bagi mencapai Malaysia MADANI, berintegriti dan bebas rasuah.
“Antara ciri-ciri negara hebat adalah bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah, kita memerlukan komitmen yang berterusan untuk lahirkan generasi bebas rasuah.
“KPT akan sentiasa memberi kerjasama dengan SPRM bagi melahirkan generasi bebas rasuah bermula daripada peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






