Rasuah masih isu besar dalam urusan sektor awam – TI-M

Rasuah masih isu besar dalam urusan sektor awam – TI-M



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bukan sekadar mengukur jumlah kes rasuah, tetapi turut mengambil kira pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada isu terbabit, termasuk kelemahan sistem birokrasi dan ketidakcekapan perkhidmatan awam.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata, terdapat salah tanggapan sebelum ini, termasuk dalam kalangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menganggap skor CPI bergantung kepada jumlah tangkapan yang dibuat oleh agensi berkenaan.

“Apabila kita kaji semula tinjauan yang dilakukan, ia merangkumi pelbagai aspek. Walaupun rasuah menjadi faktor utama, kita perlu melihat kepada punca yang menyebabkan rasuah berlaku,” katanya dalam Program Bicara Naratif di RTM bertajuk Reformasi Perkhidmatan Awam dan Kedudukan Dalam CPI, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Muhammad turut memberi contoh bagaimana kelewatan dalam proses kelulusan urusan di agensi kerajaan boleh mendorong pelabur atau pihak berkepentingan mencari jalan pintas, termasuk menggunakan orang tengah atau ‘runner’ untuk mempercepatkan urusan mereka, yang akhirnya membuka ruang kepada amalan rasuah.

“Untuk menangani isu ini secara menyeluruh, kita perlu melakukan perubahan holistik terhadap sistem birokrasi dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan CPI 2024 yang menyaksikan Malaysia kekal di tangga ke-57 bagi tahun kedua berturut-turut, Dr Muhammad berkata, kebanyakan responden terdiri daripada peniaga tempatan yang masih merasakan rasuah menjadi cabaran utama dalam urusan mereka dengan sektor awam.

“Skor CPI negara kita mengalami penurunan dan daripada hasil tinjauan, kebanyakan responden yang memberikan maklum balas adalah daripada golongan peniaga. Mereka merasakan isu rasuah masih belum ditangani dengan baik.

“Usaha bersepadu perlu digerakkan bagi meningkatkan semula skor CPI negara dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun akan datang,” katanya.

Katanya, langkah pembaharuan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kepercayaan masyarakat dan pelabur terhadap sistem pentadbiran negara terus kukuh.

Baru-baru ini, Dr Muhammad berkata, skor CPI Malaysia juga kekal pada 50 mata sejak 2023. Beliau berkata, skor itu meningkat daripada 47 pada 2022, meletakkan negara di tangga ke-57 secara global, berbanding ke-61 pada 2022.

“Untuk mencapai kedudukan 25 teratas menjelang 2034, Malaysia masih perlu meningkatkan skor sebanyak 18 mata untuk berada di kedudukan 25 teratas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top