Rasuah RM1 Juta, CEO Badan Berkanun Direman 5 Hari

Rasuah RM1 Juta, CEO Badan Berkanun Direman 5 Hari


Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun direman lima hari selepas disyaki terlibat dalam kes rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta.

Rasuah itu berkaitan kelulusan bayaran tuntutan projek pembinaan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di ibu negara.

Majistret Ezrene Zakaria mengeluarkan perintah reman sehingga 18 April ini di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, susulan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harian Metro dalam laporannya memetik sumber yang memaklumkan CEO lelaki berusia sekitar 40-an itu diberkas kira-kira jam 7 malam tadi di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta rasuah sebanyak RM1 juta pada Mac lalu sebagai balasan membantu meluluskan bayaran tuntutan kontraktor.

“Bagaimanapun suspek dipercayai menerima kira-kira RM500,000 tunai sebelum Aidilfitri lalu dan RM100,000 lagi semalam daripada kontraktor terbabit di sebuah pusat membeli belah di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh mengesahkan tangkapan berkenaan ketika dihubungi dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009

KREDIT GAMBAR UTAMA: SPRM






Source link

OR

Scroll to Top