Rasuah RM50,000 sebulan boloskan warga asing, gadai keselamatan negara

Rasuah RM50,000 sebulan boloskan warga asing, gadai keselamatan negara


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gelap mata dengan tawaran sindiket counter setting yang mampu mencecah RM50,000 sebulan menyebabkan segelintir pegawai penguat kuasa sanggup menggadaikan keselamatan negara dengan melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Imigresen (JIM) itu menerima bayaran rasuah antara RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.

Menurutnya, bayaran wang rasuah itu dibuat secara tunai dan menggunakan akaun keldai dengan secara purata pegawai yang terbabit menerima wang rasuah antara RM10,000 sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada warga asing yang dilepaskan.

“Modus operandi mereka adalah ejen memaklumkan maklumat warga negara asing seperti maklumat nombor pasport, tiket kapal terbang kepada pegawai terbabit.

“Pegawai itu kemudiannya memaklumkan kepada ejen berkaitan dengan kaunter yang perlu dilalui oleh warga negara asing terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Azam berkata, pegawai yang bertugas di kaunter akan memudahkan urusan atau tanpa pemeriksaan terperinci bagi kemasukan warga negara asing yang sudah di setting.

“Dalam operasi yang dijalankan itu 20 orang pegawai penguatkuasan terdiri pegawai AKPS dan JIM membabitkan Ketua Pasukan, Penyelia dan Penjaga Kaunter Imigresen ditahan.

“Mereka yang ditahan itu bermula dari Gred KP1 hingga KP9 berusia antara 23 hingga 54 tahun,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seramai 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Susulan itu SPRM membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Selain pembekuan kesemua akaun terdiri daripada 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat itu, wang tunai berjumlah lebih RM200,000 turut disita susulan Op Rentas berkenaan.

Dalam operasi itu, seramai 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Hasil penahanan itu, SPRM merampas beberapa kereta dan motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan yang belum dianggarkan nilai keseluruhannya.

Kesemua barangan rampasan itu diperoleh selepas menahan suspek dalam operasi di seluruh negara.

Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor kerana disyaki terbabit dalam sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top