Ratcliffe benteng Amorim

Ratcliffe benteng Amorim


PEMILIK bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe dilaporkan bertemu pengendali Ruben Amorim di pusat latihan kelab di Carrington.

Pertemuan itu yang pertama kali didedahkan portal tempatan difahamkan dirancang lebih awal, dengan Ratcliffe turut menghadiri beberapa mesyuarat lain sepanjang kunjungannya ke Manchester.

Bagaimanapun, sumber kelab mengesahkan bilionair berusia 72 tahun itu mahu memberi sokongan penuh kepada Amorim yang kini berdepan tekanan hebat selepas permulaan musim yang hambar.

Ratcliffe tidak bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada, yang ke Leigh bagi menyaksikan skuad wanita United mara ke peringkat utama Liga Juara-Juara buat julung kali.

Amorim, 40 tahun terus menjadi sasaran kritikan selepas United sekadar mencatat satu kemenangan liga, menerusi sepakan penalti masa kecederaan menewaskan Burnley, selain disingkir kelab Liga Dua, Grimsby Town dalam saingan Piala Liga.

Lebih mengecewakan, prestasi itu hadir meskipun kelab membelanjakan jumlah dana yang besar lebih untuk membawa masuk pemain baharu jendela perpindahan.

Biarpun terdapat pihak dalam kelab menegaskan data prestasi menunjukkan peningkatan besar dan menjadi alasan Ratcliffe terus percaya kepada bekas pengendali Sporting Lisbon itu.

Namun, terdapat juga segelintir kelompok lain pula berpandangan angka tersebut sekadar menutup masalah prestasi sebenar gergasi bola sepak England itu.

United juga menolak laporan yang mendakwa Amorim diberi tempoh tiga perlawanan untuk menyelamatkan jawatannya, namun difahamkan keputusan menentang Chelsea, Brentford dan Sunderland sebelum rehat antarabangsa Oktober bakal menjadi penentu tahap keyakinan pengurusan terhadapnya.

Manchester United sebelum itu mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah kelab berjumlah £666.5 juta (RM3.93 bilion) sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu, biarpun pasukan utama lelaki bergelut di padang.

Musim lalu, United menamatkan saingan liga di tangga ke-15, pencapaian terburuk sejak penyingkiran musim 1973/74, kontrak tajaan jersi utama lima tahun bersama syarikat teknologi Snapdragon melonjakkan hasil komersial kelab kepada £333.3 juta (RM1.97 bilion), manakala kutipan hasil hari perlawanan turut mencecah rekod baharu £160.3 juta (RM946 juta).

“Menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah ketika melalui musim sukar membuktikan ketahanan Manchester United.

“Kami kini bekerja keras memperbaiki kelab dalam semua aspek dengan fokus jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada.

United juga turut merekodkan kerugian keseluruhan £33 juta (RM194.7 juta), namun jumlah itu berkurangan hampir 71 peratus berbanding £113.2 juta (RM667.9 juta) pada tahun sebelumnya.

Kelab itu menegaskan kekal mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kemampanan EPL serta Peraturan Kewangan Fair Play (FFP) Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Jumlah kakitangan United juga dikurangkan daripada 1,100 kepada 700 dalam tempoh dua tahun susulan langkah pemberhentian besar-besaran yang mengundang kritikan.

Bagaimanapun, pengurusan United mempertahankan keputusan tersebut sebagai strategi memberi ruang kewangan untuk pelaburan skuad.

Kos gaji pemain United turut dipotong £51.5 juta (RM303.9 juta) kepada £313.2 juta (RM1.85 bilion), sebahagian besarnya berikutan kegagalan layak ke Liga Juara-Juara yang mencetuskan potongan automatik 25 peratus terhadap kontrak pemain.

Laporan kewangan juga merekodkan kos luar biasa sebanyak £36.6 juta (RM215.9 juta) melibatkan pampasan kepada bekas pengendali Erik ten Hag, interim Ruud van Nistelrooy serta bekas pengarah teknikal Dan Ashworth.

Bagaimanapun, isu hutang kekal menjadi tumpuan apabila United masih menanggung hutang jangka panjang AS$650 juta (RM2.86 bilion), manakala pinjaman kredit melonjak kepada £165.1 juta (RM974.1 juta) berbanding £35.6 juta (RM210 juta) tahun sebelumnya.

Liabiliti keseluruhan termasuk ansuran pembelian pemain, meningkat kepada £564.6 juta (RM925.1 juta).

United berbelanja besar dengan membawa masuk Bryan Mbeumo (Brentford), Benjamin Sesko (RB Leipzig) dan Senne Lammens (Royal Antwerp) dengan jumlah keseluruhan £156.8 juta (RM925.1 juta) sejak Julai.

Pengurusan United bagaimanapun mempertahankan pelaburan itu sebagai bukti kesungguhan kelab untuk menghentikan kemerosotan prestasi dan kembali mencabar kejuaraan utama.

Menurut Deloitte, United berada di kedudukan keempat kelab bola sepak berpendapatan tertinggi dunia pada Januari lalu dengan jumlah £651 juta (RM3.84 bilion), di belakang Real Madrid (RM5.21 bilion), Manchester City (RM4.18 bilion) dan Paris Saint-Germain (RM4.02 bilion).

United kini optimis mencatat pendapatan antara £640 juta (RM3.78 bilion) hingga £660 juta (RM3.89 bilion) menjelang 30 Jun 2026, hasil strategi pemotongan kos dan sokongan tajaan baharu yang diharap dapat menstabilkan kewangan serta menyokong misi utama kembali mencipta kejayaan di padang.

LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (20 SEPTEMBER)

Liverpool lwn Everton

(Stdm Anfield, 7.30 malam)

Burnley lwn Nottingham Forest

(Stdm Turf Moor, 10 malam)

Brighton lwn Tottenham Hotspur

(Stdm Amex, 10 malam)

West Ham United lwn Crystal Palace

(Stdm London, 10 malam)

Wolverhampton lwn Leeds United

(Stdm Molineux, 10 malam)

AHAD (21 SEPTEMBER)

Manchester United lwn Chelsea

(Stdm Old Trafford, 12.30 tengah malam)

Fulham lwn Brentford

(Stdm Craven Cottage, 3 pagi)

Sunderland lwn Aston Villa

(Stdm of Light, 9 malam)

Bournemouth lwn Newcastle United

(Stdm Vitality, 9 malam)

Arsenal lwn Manchester City

(Stdm Emirates, 11.30 malam)

Ringkasan AI

  • PEMILIK bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, bertemu pengendali Ruben Amorim di pusat latihan kelab
  • Ratcliffe mahu memberi sokongan penuh kepada Amorim yang berdepan tekanan selepas permulaan musim yang hambar
  • Amorim, 40 tahun terus menjadi sasaran kritikan selepas United mencatat satu kemenangan liga
  • Manchester United mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah kelab berjumlah £666.5 juta sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu
  • United menanggung hutang jangka panjang AS$650 juta, manakala pinjaman kredit melonjak kepada £165.1 juta berbanding £35.6 juta tahun sebelumnya



Source link

OR

Scroll to Top