Ratusan penduduk Sweden protes depan Kedutaan Israel

Ratusan penduduk Sweden protes depan Kedutaan Israel


STOCKHOLM- Ratusan peserta demonstrasi berhimpun di hadapan Kedutaan Israel di Stockholm pada Ahad bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin.

Agensi berita Anadolu melaporkan, kesemua peserta berkumpul di Odenplan sebelum berarak ke Kedutaan Israel bagi memprotes serangan di Gaza.

Para peserta himpunan yang membawa sepanduk ‘Bebaskan Palestin, Bebaskan Gaza, Hentikan Genosid’ turut mendesak serangan di Gaza dihentikan segera.

Salah seorang aktivis yang menyertai demo itu, Uno Horm berkata, sokongan berterusan kerajaan Sweden terhadap Israel boleh disifatkan sebagai ‘tragik.’

“Genosid di Gaza adalah perkara paling buruk yang pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua dan genosid Naza,” katanya.

Dia turut mengkritik media Sweden yang gagal untuk melaporkan perkembangan sebenar di Gaza.

Katanya, rakyat Sweden menyokong Palestin walaupun media dan kerajaan mempunyai pendirian berbeza mengenai situasi di sana.

Sementara itu, seorang lagi peserta demo, Maya Veliz Wastberg berkata, dia tidak faham mengapa dunia membisu mengenai kekejaman Israel di Gaza.

“Netayanhu membuat keputusan buruk yang sama seperti Adolf Hitler lakukan 70 tahun lalu,” katanya.

Manakala Titi Watsberg pula berkata, dia pernah dituduh anti-sematik kerana menyertai protes boikot anti-Israel pada 1983.

“Saya sangat sedih kerana situasi semakin buruk sejak lebih 40 tahun lalu.

“Saya sangat sedih dan marah,” katanya.

Sejak 7 Oktober tahun lepas, lebih 40,400 rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak mati dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Selain itu, 93,400 orang pula mengalami kecederaan.

Israel turut bertindak kejam dengan mengadakan sekatan ke Gaza sehingga menyebabkan penduduk di sana kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.- Agensi



Source link

OR

Scroll to Top