Rawatan kulit pilihan utama pelancong perubatan ke Korea Selatan

Rawatan kulit pilihan utama pelancong perubatan ke Korea Selatan


Seoul: Perubatan dermatologi menjadi pilihan utama pelancong asing yang mendapatkan rawatan kulit di Seoul, Korea Selatan sepanjang tahun lalu, lapor Korea Times.

Kerajaan Metropolitan Seoul memaklumkan lebih 665,000 pesakit asing menjalani rawatan dermatologi tahun lalu, merangkumi 64.2 peratus daripada keseluruhan pesakit.

Kepakaran lain yang turut menjadi tumpuan ialah pembedahan plastik dan rawatan primer.

Media sama juga melaporkan, secara keseluruhan, hampir sejuta pelawat asing menerima rawatan di hospital dan klinik di Seoul pada tahun lalu.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada kira-kira 1.17 juta pelawat dari 202 negara yang datang ke Korea Selatan untuk rawatan perubatan.

Angka berkenaan kemudian meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2023 dan lebih tiga kali ganda berbanding 2019, sebelum pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Seoul turut mencatatkan perbelanjaan pesakit asing berjumlah 1.2 trilion won (kira-kira RM4.2 bilion) menggunakan kad kredit yang dikeluarkan di luar negara.

Dalam laporan sama, Gangnam mencatat hampir 380,000 pesakit asing, menjadikannya daerah paling popular, diikuti Seocho, Mapo, Jung dan Songpa.

Kelima-lima daerah itu menyumbang kira-kira 92 peratus daripada semua lawatan pesakit asing.

Antara daerah yang mencatat pertumbuhan pesakit asing tertinggi ialah Seocho dengan peningkatan 251 peratus diikuti Mapo sebanyak 160 peratus.

Sementara itu, kerajaan bandar mengaitkan lonjakan itu dengan pertambahan kemudahan perubatan berdaftar yang meningkat kepada 1,994 pada tahun lalu berbanding 920 pada 2020.

Kini, satu daripada 10 institusi perubatan di Seoul menawarkan rawatan kepada pesakit asing, dengan kadar lebih tinggi di Gangnam dan Seocho.

Bagi Pengarah Bahagian Polisi Kesihatan dan Perubatan, Kang Jin-yong berkata, pihaknya akan terus memperluaskan sokongan bagi memastikan pesakit asing menggunakan perkhidmatan perubatan dengan selamat dan mudah.

“Apabila lebih ramai pelancong perubatan asing memilih Seoul kerana teknologi perubatan dan infrastruktur canggih, bandar ini muncul sebagai hab global sebenar untuk pelancongan perubatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top