Raya yakin Arsenal mampu bangkit ke final

Raya yakin Arsenal mampu bangkit ke final


PENJAGA gol Arsenal, David Raya menegaskan pasukannya masih berpeluang mara ke final Liga Juara-Juara biarpun tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Emirates, awal pagi Rabu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap PSG, Ousmane Dembele seawal minit keempat, sekali gus meletakkan skuad kendalian Mikel Arteta dalam kedudukan sukar menjelang aksi timbal balik di Paris minggu depan.

Bagaimanapun, PSG gagal menambah jaringan meskipun menguasai babak pertama dengan dua peluang keemasan pada penghujung perlawanan disia-siakan Goncalo Ramos dan Bradley Barcola.

Dalam masa sama, penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma turut bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard bagi memastikan kemenangan pasukannya.

Raya bagaimanapun tetap berpuas hati dengan semangat juang rakan sepasukannya, sambil menyifatkan peluang untuk bangkit dalam aksi timbal balik masih terbuka.

“Mereka bermula pantas dengan satu gol dan menguasai 15 ke 20 minit awal permainan, tetapi selepas itu kami lebih banyak mengawal permainan dan mencipta beberapa peluang. Donnarumma melakukan beberapa aksi menyelamat hebat.

“Ini baru separuh masa pertama. Banyak perkara positif boleh diambil. Mereka pasukan yang hebat, namun pemain kami juga beraksi dengan usaha yang tinggi. Kami juga sebenarnya berpeluang untuk menang,” katanya.

Kekalahan tersebut merupakan kali pertama Arsenal gagal menjaringkan gol di laman sendiri dalam aksi Liga Juara-Juara sejak tewas 0-2 kepada Barcelona pada 2016.

Ia juga kekalahan pertama The Gunners di Stadium Emirates dalam 18 perlawanan Eropah terakhir mereka.

Namun Arsenal bakal mendapat suntikan semangat dengan kembalinya pemain tengah Ghana, Thomas Partey daripada penggantungan untuk aksi di Parc des Princes pada 7 Mei, sekali gus membolehkan Declan Rice diberikan peranan lebih menyerang.

Raya tetap optimis bahawa pasukannya yang sebelum ini menyingkirkan juara bertahan Real Madrid di suku akhir mampu mencipta kejutan sekali lagi.

“Sejak minit ke-25, kami sudah menunjukkan bahawa kami boleh menang menentang mana-mana pasukan. Kami juga telah membuktikan musim ini bahawa kami mampu menang di tempat lawan. Jadi, kami akan ke Paris dengan misi menang.

“Kami perlu hadapi perlawanan itu dengan pendekatan sama. Kami bermain dengan baik, beri tekanan kepada mereka dan berjaya mencipta peluang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top