PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan pihaknya masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum proses rayuan dimulakan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ketika ini pihaknya tidak dapat memberikan sebarang perkembangan baharu mengenai isu penggantungan tersebut.
“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA.
“Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.
“Sehubungan itu, pihak FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ringkasan AI
- FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA sebelum memulakan proses rayuan
- Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman tidak dapat memberikan sebarang perkembangan baru mengenai isu penggantungan
- Proses rayuan hanya akan dimulakan setelah dokumen keputusan penghakiman diterima
- FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen
- FAM dikenakan denda CHF350,000 dan setiap pemain didenda CHF2,000 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak






