Rayuan FAM ditolak FIFA, keputusan kekal

Rayuan FAM ditolak FIFA, keputusan kekal

Rayuan FAM ditolak FIFA, keputusan kekal


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah keputusan penggantungan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) musnah apabila gagal dalam proses rayuan.

Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM.

Dalam keputusan yang diumumkan malam ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Mereka semua sebelum ini disiasat berhubung dakwaan pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran sebagai pemain warisan Harimau Malaya.

FIFA dalam kenyataan rasminya menjelaskan, selepas meneliti semua dokumen rayuan dan menjalankan sesi pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut serta mengekalkan sepenuhnya keputusan asal Jawatankuasa Disiplin.

Dengan keputusan ini, FAM wajib menjelaskan bayaran denda kepada FIFA, manakala tujuh pemain berkenaan kekal digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

FAM dan pemain terbabit masih mempunyai tempoh sepuluh hari untuk memohon salinan penuh keputusan bertulis, sebelum diberi masa 21 hari lagi untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top