Razali genggam Master, kongsi 'pentas' dengan dua anak

Razali genggam Master, kongsi 'pentas' dengan dua anak


zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kesibukannya sebagai Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak menghalang Datuk Razali Idris untuk menamatkan pengajian sarjana (Master) dalam bidang pentadbiran perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bahkan pengorbanannya selama tiga tahun menuntut ilmu berbaloi apabila menggenggam ijazah itu pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam semalam dan lebih bermakna apabila turut disertai dua anaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu itu berkongsi ‘pentas’ dengan anak, Mohd Alinur Haqqim, 36, dan Nur Aisyah Hanim, 34, yang turut menamatkan pengajian dalam bidang sama.

Razali, 59, berkata, beliau mula menyambung pengajian pada 2021 ketika memegang tanggungjawab sebagai Senator di Dewan Negara.

“Ketika itu, jadual amat padat dan penuh komitmen, namun dengan izin Allah SWT, segalanya dipermudahkan hingga berjaya menamatkan pengajian.

“Saya juga menangguh satu semester bagi memberi laluan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri sebagai calon Adun Kijal pada Ogos 2023,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut berharap pencapaian itu membawa kebaikan dan membolehkannya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih baik.

“Segala yang baik datang dari-Nya, dan saya berdoa agar ilmu yang diperoleh ini memberi manfaat untuk semua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top