Real Madrid, Benfica berentap lagi

Real Madrid, Benfica berentap lagi


Nyon: Real Madrid bakal berdepan semula Benfica dalam pusingan play-off kalah mati Liga Juara-Juara Eropah bulan depan selepas undian rasmi malam tadi.

Perlawanan timbal balik itu menyaksikan pasukan di kedudukan kesembilan hingga ke-24 fasa liga diundi sesama sendiri, dengan aksi dua perlawanan dijadual berlangsung antara 17 hingga 25 Februari.

Pemenang akan mengiringi lapan pasukan teratas fasa liga ke pusingan 16 terbaik.

Madrid sebelum ini tewas 2-4 kepada Benfica pada perlawanan terakhir fasa liga, dengan penjaga gol, Anatoliy Trubin menjaringkan gol dramatik pada minit ke-98 untuk mengesahkan kemenangan kelab Portugal itu.

Kekalahan berkenaan menyebabkan juara Sepanyol itu menamatkan kempen di tangga kesembilan, satu mata di belakang Manchester City yang berada di kedudukan kelapan.

Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) pula diundi menentang wakil senegara dari Ligue 1, AS Monaco. PSG menamatkan fasa liga di tangga ke-11 selepas gagal memenangi tiga perlawanan terakhir, manakala Monaco berada di kedudukan ke-21.

Newcastle United dijadual menentang kelab Azerbaijan, Qarabag, sementara Atletico Madrid yang menamatkan kempen tiga mata di luar kelompok lapan terbaik akan berdepan Club Brugge.

Borussia Dortmund pula diundi menentang Atalanta selepas kedua-dua pasukan terlepas slot automatik ke pusingan 16 terbaik susulan kekalahan berturut-turut dalam fasa liga.

Satu lagi wakil Jerman, Bayer Leverkusen, akan bertemu semula Olympiacos selepas tewas kepada juara Greece itu awal bulan ini.

Dalam pada itu, pendahulu Serie A, Inter Milan, diundi menentang kelab Norway, Bodo/Glimt, manakala Juventus akan berdepan gergasi Turkiye, Galatasaray.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top