Reaksi Bellingham (kanan) selepas gagal menjaringkan gol. Foto AFP
PEMAIN tengah Real Madrid, Jude Bellingham mengakui pasukannya bernasib baik hanya tewas 3-0 kepada Arsenal dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Emirates pada Rabu.
Arsenal memperoleh dua jaringan menerusi sepakan percuma Declan Rice serta satu gol hasil jaringan Mikel Merino untuk memberi kelebihan selesa kepada skuad The Gunners menjelang aksi timbal balik nanti.
Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois tampil dengan beberapa aksi menyelamat penting manakala Bellingham sendiri melakukan satu halangan di atas garisan gol pada babak kedua untuk mengelakkan kekalahan lebih besar.
“Kami tidak berada pada tahap terbaik, itu hakikatnya. Arsenal pula bermain sangat baik. Walaupun dua gol mereka datang daripada sepakan percuma, mereka sebenarnya berpeluang untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Kami bernasib baik hanya bolos tiga gol. Tapi kami masih ada peluang dalam aksi kedua nanti. Kami perlukan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang gila. Tapi kalau ada tempat keajaiban boleh berlaku, ia adalah di tempat kami sendiri,” katanya.
Sementara itu, pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya khususnya dalam tempoh 30 minit terakhir perlawanan yang disifatkannya sebagai ‘hilang arah’.
“Ia satu kekalahan yang sukar diterima. Kami tidak menjangkakan keputusan ini. Kami bermain baik untuk sejam pertama, tetapi dua gol yang dilepaskan telah melemahkan mental dan fizikal pemain.
“Kami tidak mampu memberikan reaksi selepas itu. Biasanya kami mampu bangkit, tetapi kali ini kami tidak. Kami perlu bersikap kritikal terhadap diri sendiri dan bangkit untuk aksi seterusnya,” ujarnya.
Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu pada 17 April ini.