EJEN kepada Jurgen Klopp menafikan dakwaan bahawa bekas pengurus Liverpool itu tidak gembira dengan peranannya sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull.
Sebelum ini, laporan dari Brazil mendakwa Klopp terbuka untuk kembali mengurus pasukan sama ada Real Madrid atau skuad kebangsaan Brazil, berikutan masa depan Carlo Ancelotti yang masih belum jelas.
Klopp, 57, menyertai Red Bull pada Januari lalu, hanya tujuh bulan selepas meninggalkan Liverpool.
Keputusan itu mengejutkan ramai, memandangkan beliau sebelum ini dijangka berehat panjang daripada dunia bola sepak.
Media Brazil turut mendakwa Klopp mula berasa tidak puas hati dengan peranannya, namun ejennya, Marc Kosicke menegaskan bahawa Klopp kekal komited dan tidak bercadang kembali menjadi jurulatih dalam masa terdekat.
“Masih ada minat dari kelab elit dan persekutuan, tapi Jurgen tidak berminat untuk melatih semula musim depan termasuk Real Madrid dan Brazil.
“Beliau gembira dengan tugasnya di Red Bull dan masih terikat kontrak,” jelas Kosicke kepada Sky Sport Deutschland.
Klopp kini lebih berperanan sebagai penasihat di Red Bull, memberi panduan dalam aspek falsafah permainan, strategi perpindahan dan pembangunan jurulatih bagi kelab-kelab milik syarikat itu.
Dalam satu kenyataan di Instagram, Klopp berkata: “Saya tak nampak diri saya kembali ke tepi padang buat masa ini. Tapi saya masih cintakan bola sepak dan Red Bull beri peluang terbaik untuk saya kekal terlibat.”
Walaupun begitu, Klopp tidak menolak kemungkinan kembali ke dunia kejurulatihan suatu hari nanti.
Sementara itu, laporan dari Mail Sport menyebut Ancelotti telah mengadakan perbincangan awal untuk mengambil alih skuad Brazil sekiranya tidak lagi bersama Real.
Ini susulan pemecatan Dorival Junior selepas kekalahan besar kepada Argentina bulan lalu.
OR