Real Madrid kelab pertama jana €1 bilion semusim

Real Madrid kelab pertama jana €1 bilion semusim


Real Madrid menjadi kelab bola sepak pertama mencatatkan pendapatan sebanyak €1 bilion (RM6.2 bilion) dalam satu musim. Foto AFP

REAL Madrid menjadi kelab bola sepak pertama mencatatkan pendapatan sebanyak €1 bilion (RM6.2 bilion) dalam satu musim, menurut laporan tahunan Deloitte Football Money League yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

“Secara keseluruhan, kelab dalam Money League pada 2023/24 menjana rekod pendapatan berjumlah €11.2 bilion (RM51.8 bilion), meningkat 6 peratus berbanding musim 2022/23, dengan pendapatan rekod daripada perlawanan, komersial dan siaran,” menurut laporan itu.

“Pada 2023/24, kelab purata dalam Money League menjana pendapatan sebanyak €560 juta (RM2.6 bilion), merangkumi €244 juta (RM1.1 bilion) (44 peratus) daripada pendapatan komersial, €213 juta (RM986 juta) (38 peratus) daripada pendapatan siaran, dan €103 juta (RM476 juta) (18 peratus) daripada pendapatan perlawanan.”

Deloitte melaporkan bahawa Real Madrid, yang mendapat manfaat daripada pengubahsuaian Stadium Santiago Bernabeu, meningkatkan hasil tiketnya sebanyak 103 peratus kepada €248 juta (RM1.1 bilion). Kelab itu turut memperoleh €316 juta (RM1.4 bilion) daripada hak penyiaran dan €482 juta (RM2.2 bilion) daripada perjanjian penajaan.

Setelah menamatkan musim lalu dengan pendapatan €831 juta (RM3.8 bilion), Real Madrid berjaya melepasi paras €1 bilion (RM4.6 bilion) pada musim ini, dengan peningkatan sebanyak 26 peratus.

Menurut laporan terkini Deloitte Football Money League, Manchester City menduduki tempat kedua dengan pendapatan €838 juta (RM3.9 bilion), manakala Paris Saint-Germain berada di tempat ketiga dengan €806 juta (RM3.7 bilion). – Bernama-AA



Source link

OR

Scroll to Top