Real Madrid mengharungi detik mencemaskan sebelum menempah slot ke separuh akhir Piala Dunia Kelab dengan kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund dalam pertembungan mendebarkan yang diwarnai tiga jaringan dan satu kad merah pada masa kecederaan di Stadium MetLife, Timur Rutherford, New Jersey.
Gonzalo Garcia meneruskan prestasi cemerlang apabila meledak jaringan keempat dalam lima perlawanan selepas menyempurnakan hantaran Arda Guler seawal minit ke-10 untuk gol pertama Los Blancos.
10 minit kemudian, giliran Fran Garcia pula mencetak nama selaku penjaring apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Trent Alexander-Arnold untuk meletakkan juara Eropah itu selesa mendahului.
Ketika Real kelihatan selesa mengawal permainan, pemain gantian Dortmund, Maximilian Beier, merapatkan kedudukan, sekali gus mencetuskan kebangkitan dramatik pasukan Jerman itu pada minit ke-92.
Namun, reaksi pantas Real menyaksikan Kylian Mbappe, yang masuk sebagai pemain gantian, meledak jaringan akrobatik hasil sepakan voli menakjubkan pada minit ke-94.
Beberapa saat selepas itu, kekalutan melanda Real apabila Dean Huijsen dilayangkan kad merah setelah menarik penyerang Dortmund, Serhou Guirassy, di dalam kotak penalti.
Guirassy sendiri menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-98, namun segalanya sudah terlambat buat Dortmund apabila cabaran terhenti di peringkat suku akhir.
Garcia, kini berkongsi kedudukan teratas carta Kasut Emas bersama Angel Di Maria (Benfica) dan Marcos Leonardo (Al-Hilal) dengan empat gol, kedua-dua pemain lawan tersebut telahpun tersingkir daripada temasya.
Sementara itu, pengendali Los Blancos, Xabi Alonso, mengakui gergasi La Liga Sepanyol itu hilang tumpuan pada penghujung permainan akibat kebangkitan jagoan Bundesliga Jerman tersebut.
“Segalanya berada dalam kawalan sehingga 80 minit pertama, keputusan, tempo permainan dan disiplin bertahan.
“Tapi 10 minit terakhir agak huru-hara. Kami longgar dari segi bentuk dan intensiti. Mujur tiada yang terlalu merbahaya berlaku,” katanya.
Real kini bakal berdepan cabaran getir di separuh akhir apabila dijadualkan menentang juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada Khamis ini, yang sebelum itu menyingkirkan Bayern Munich dengan kemenangan 2-0.