Real Madrid tempang lawan Barca

Real Madrid tempang lawan Barca


Madrid: Real Madrid mungkin terpaksa beraksi tanpa pertahanan David Alaba dan pemain tengah Eduardo Camavinga pada final Piala Raja Sepanyol selepas kedua-duanya mengalami kecederaan ketika menang 1-0 ke atas Getafe dalam saingan LaLiga, awal pagi tadi.

Gol separuh masa pertama daripada pemain tengah Turki, Arda Guler, memastikan kemenangan buat Real Madrid, yang mengekalkan harapan mereka dalam perebutan gelaran LaLiga.

Namun, kemenangan itu hadir dengan harga yang mahal apabila jurulatih Carlo Ancelotti sudah pun kehilangan pemain utama seperti Kylian Mbappe dan Ferland Mendy menjelang final Piala Raja Sepanyol menentang seteru utama Barcelona, pada Sabtu.

“Kita akan lihat esok apa keputusan pemeriksaan perubatan, tetapi (Alaba dan Camavinga) kedua-duanya mengalami kecederaan otot kaki dan nampaknya sangat tidak mungkin mereka sempat pulih menjelang final Sabtu,” kata Ancelotti dalam sidang media selepas perlawanan.

Dengan Mendy, Alaba dan Camavinga berkemungkinan tidak dapat diturunkan, Ancelotti mungkin perlu bergantung kepada Fran Garcia untuk mengisi posisi bek kiri, di mana dia bakal berdepan tugas sukar mengekang pemain sensasi Barcelona berusia 17 tahun, Lamine Yamal.

Barcelona yang sedang memburu treble musim ini dengan perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan minggu hadapan, kini berada di puncak LaLiga dengan 76 mata, empat mata di hadapan Real Madrid dengan baki lima perlawanan.

Mereka sebelum ini mencatat kemenangan besar ke atas Real musim ini, dengan kemenangan 4-0 di Santiago Bernabeu dalam aksi LaLiga pada Oktober dan 5-2 dalam final Piala Super Sepanyol di Arab Saudi pada Januari.

“Mungkin ada pasukan pilihan, tetapi perlawanan akhir tetap perlawanan akhir. Apa-apa boleh berlaku,” kata Ancelotti.

“Kami perlu bertahan dengan baik, tetapi kami juga akan mempunyai peluang di bahagian serangan. Kemenangan hari ini memberi suntikan semangat. Separuh masa pertama sangat baik, tetapi lebih sukar di penghujung perlawanan – namun kami menang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top