KLUANG: “Roh dan semangat reformasi Pakatan Harapan (PH) yang diperjuangkan sebelum ini sudah mati selepas mereka jadi kerajaan di Putrajaya.”
Demikian dakwa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu, di sini malam tadi.
Menurutnya, reformasi pada masa ini adalah perjuangan palsu, malah melanggar prinsip dan perjuangan sebenar yang dibawakan parti itu sebelum ini.
Beliau berkata, banyak reformasi yang tidak dilakukan termasuk apabila ada pemimpin yang mempunyai 47 pertuduhan kes rasuah di mahkamah diangkat menjadi pemimpin tertinggi negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendakwa, bukan sahaja reformasi tidak dilakukan malah Kerajaan Perpaduan dilihat semakin menekan hidup rakyat, antaranya dengan isu kenaikan harga minyak, dikenakan cukai dan ketiadaan beras tempatan dalam pasaran.
“Beri isyarat dan mesej kepada kerajaan di Putrajaya dan Kerajaan negeri Johor supaya harus lebih proaktif, cakna dan peduli rakyat.
“Rakyat tengah susah bela mereka, bukan dengan menaikkan cukai, bukan tekan rakyat, bukan zalimi rakyat. Reformasi apa yang diperjuangkan oleh mereka selama ini,” soalnya.
Mohamed Azmin berkata, bagi memperingati perjuangan reformasi, kerajaan akan mengadakan Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi Ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
“Malam esok (malam ini) kononnya ada himpunan di Stadium Axiata sempena 20 September ini tarikh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ditangkap.
“Saya difahamkan kakitangan kerajaan akan dikerah untuk memenuhi stadium. Mengapa mereka (kakitangan) perkhidmatan awam (dikerah) untuk mendengar ceramah politik yang sudah mati. Semangat reformasi yang sudah mati.
“Jangan heret anggota kerajaan untuk mendukung satu perjuangan palsu yang telah mengkhianati mandat rakyat. Reformasi sudah mati, sudah jadi reformati,” katanya. – UTUSAN