SEJAK kebelakangan ini, masyarakat berdepan dengan pelbagai ujian fitnah yang cukup meresahkan.
Lebih merisaukan, ada pihak yang sanggup memanipulasi keadaan hingga tercetus tuduhan tidak berasas.
Apatah lagi segelintir masyarakat pula cenderung mempercayai apa yang selari dengan kehendak mereka hingga sanggup mereka-reka cerita demi mengukuhkan apa yang dianggap sebagai ‘fakta’.
Cerita itu kemudian tersebar meluas dengan kuasa jari-jemari dan media sosial yang boleh diakses dengan mudah.
Realiti itu memberi kesan besar bukan sahaja kepada individu, malah turut menggugat keharmonian masyarakat Islam secara keseluruhannya.
USAH menjaja cerita tanpa kepastian sehingga kita lupa bahawa ‘Hakim’ sebenar (ALLAH SWT) sedang memerhati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi teks khutbah Jumaatnya baru-baru ini mengingatkan umat Islam agar kembali menghayati ajaran Rasulullah SAW dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah.
“Sunnah Baginda adalah cahaya yang menyinari jalan hidup kita, membawa kepada akhlak mulia, sentiasa berwaspada dalam penyampaian suatu berita, berlapang dada dalam mencari kebenaran dan bersabar serta reda menanti keadilan,” kata khatib menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Fitnah dijauhi, sunnah diikuti’ yang diterbitkan JHEAINS baru-baru ini.
Penyebab azab kubur
Dalam Islam, JHEAINS menegaskan, perbuatan menabur fitnah, menyebarkan khabar angin dan suka mengadu domba bukan sahaja tergolong dalam dosa besar, bahkan boleh menjadi asbab azab kubur sebagaimana diceritakan dalam sepotong hadis.

PELIHARALAH jari-jemari daripada menulis berita palsu, gambar atau mesej yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. -Foto: CANVA
“Oleh itu, jagalah lidah kita daripada mereka cerita, pelihara jari-jemari daripada menulis berita palsu, gambar atau mesej yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.
JHEAINS kemudian mengajak umat Islam menelusuri sejarah Islam yang pernah berdepan fitnah besar dikenali sebagai Hadithul ifk.
Ia membabitkan peristiwa fitnah terhadap Ummul Mukminin, Sayidatina Aisyah RA yang dituduh orang munafik dengan tuduhan palsu.
Meskipun fitnah itu menggoncang Madinah, namun khatib menjelaskan, Baginda SAW tetap tenang menghadapinya dan tidak tergesa-gesa menghukum, apalagi membuat keputusan tanpa bukti.
Baginda malah menasihati sahabat agar tidak menyebarkan sebarang perkhabaran tanpa kepastikan dan mengingatkan umat bahawa menyebarkan fitnah tanpa bukti adalah berdosa besar.
“Mutakhir ini, kita dihidangkan dengan pelbagai ujian berupa fitnah, provokasi, adu domba, penipuan dan sifat suka memanipulasi keadaan.
“Sifat suka menuduh tanpa bukti sahih, apatah lagi ada pihak yang begitu dangkal terus mempercayai tanpa hujung pangkal.

JANGAN suka menebar kebencian, membuka aib, mencaci dan menghukum seseorang tanpa sedikit pun rasa simpati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Lebih parah lagi, ada pula yang cuba menangguk di air keruh demi meraih populariti hingga sanggup mengetepikan emosi sesetengah pihak yang sedang berduka dan kecewa,” katanya.
Elak emosi buat andaian
Tidak salah memperjuangkan keadilan, namun ada batas yang perlu dijaga. Ia tidak boleh dilakukan secara semberono, apatah lagi dengan menuduh orang lain.
JHEAINS mengingatkan, Islam tidak melarang umatnya untuk mencari keadilan atau kebenaran, tetapi usah terlalu beremosi sehingga membuat andaian melulu.
“Jangan sampai menjaja cerita tanpa kepastian sehingga kita lupa bahawa ‘Hakim’ sebenar (ALLAH SWT) sedang memerhati. Usah pula suka menebar kebencian, membuka aib, mencaci dan menghukum seseorang tanpa sedikit pun rasa simpati.

JANGAN cuba menangguk di air keruh demi meraih populariti hingga sanggup mengetepikan emosi sesetengah pihak yang sedang berduka dan kecewa. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“ALLAH SWT mengecam perbuatan manusia yang suka menyebarkan fitnah menerusi ayat ke-11 surah an-Nur.
“Bahkan, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari memberi amaran bahawa seseorang yang bercakap tentang sesuatu perkataan tanpa menyelidiki kebenarannya akan tergelincir ke dalam neraka yang jaraknya sejauh timur dan barat,” tegas khatib.
Justeru, khatib mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW dan meneladani sunnah yang diajarkan oleh Baginda.
“Ikutilah dan amalkan sunnah Rasulullah SAW yang mengutamakan hikmah, keadilan dan kesabaran dalam segenap dimensi kehidupan kita.
“Jauhilah sifat suka membuat fitnah dan jangan mudah menyebarkan berita tanpa bukti serta bersabarlah menghadapinya kerana akhirnya kebenaran pasti terserlah,” kata khatib.
*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan disiarkan di laman web rasmi jabatan berkenaan.