BAHANG pemilihan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu bulan depan kian dirasai.
Ketika empat calon dikhabarkan berminat dengan jawatan presiden, muncul seorang lagi individu yang mahu ‘bikin panas’ menawarkan diri untuk menghuni kerusi nombor satu di Kelana Jaya itu.
Perunding kecergasan yang juga bekas pemain ragbi negara, Iskandar Salleh menggariskan beberapa manifesto untuk memacu bola sepak negara bermula di peringkat akar umbi sehingga ke pentas tertinggi.
Malah beliau juga bersedia menyalurkan RM50,000 daripada RM90,000 gaji presiden setiap bulan kepada Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) terpilih bagi membina gim untuk melahirkan pemain yang memiliki tahap kecergasan terbaik.
Tambahnya, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan akan terus diperkasa dengan meletakkan jurulatih kecergasan secara sepenuh masa di SSN dan PLD.
“Sabah dan Sarawak pula akan mengadakan liga sendiri yang dikenali sebagai Piala Borneo.
“Saya juga amat mementingkan integriti dengan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri (FA) yang bermasalah pula tiada tempat dalam badan ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kongres FAM dijadualkan berlangsung pada 15 Februari, manakala pencalonan perlu tiba di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 16 Januari ini.
Iskandar menjelaskan, buat skuad kebangsaan pula akan dibarisi pemain berpengalaman serta tenaga muda termasuk di Bawah 23 dan 19 tahun (B-23) dan mereka akan menghadiri kem kecergasan secara berperingkat.
“Para pemain akan didedahkan mengenai kekuatan fizikal, nutrisi dan mental. Tanpa mengira pemain ini warisan, naturalisasi atau tempatan, mereka perlu berada pada tahap kecergasan terbaik,” katanya.
Beliau menambah, bagi saingan liga utama negara hanya akan melibatkan dua pasukan bagi setiap kelab iaitu skuad senior yang beraksi di Liga Super dan pasukan B-23, manakala pasukan B-18 dan B-20 akan berada di bawah tanggungjawab FA negeri.
“Liga M3 pula akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut wilayah iaitu Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor),” ujar Iskandar.
Iskandar, 50, merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan bermula tahun 2000-2005 dan ketika ini merupakan jurulatih kecergasan, selain pernah membuat kajian berkaitan bola sepak pada 2007.
Malah pasukan bola sepak sebuah sekolah sukan Malaysia turut menggunakan program latihan beliau sejak 2018 hingga kini.
Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub antara nama yang disebut-sebut untuk bertanding jawatan itu selain Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Turut berminat ialah bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan usahawan, Sayf Ismail.