Remaja 18 tahun jadi buruh paksa sindiket di Myanmar, rayu mahu pulang ke keluarga

Remaja 18 tahun jadi buruh paksa sindiket di Myanmar, rayu mahu pulang ke keluarga


KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menjadi mangsa terbaharu sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Remaja yang berasal dari Pulau Pinang itu telah diugut untuk mengerah tenaga seperti hamba, dipukul, dikenakan renjatan elektrik atau dikurung dalam bilik gelap sekiranya ibu bapa mangsa gagal membayar wang tebusan sebanyak AS$10,000.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, keselamatan mangsa juga kini terancam kerana diugut akan dijual ke sindiket yang lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Mangsa dikatakan sebelum ini pernah bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah kilang di Johor, namun dilaporkan hilang setelah dua minggu dan dia disyaki melarikan diri daripada hostel yang disediakan pihak kilang.

“Mangsa kemudiannya ada menghubungi ibu bapa menggunakan satu platform media sosial memaklumkan keberadaannya ketika itu di Thailand manakala panggilan seterusnya adalah dari Myanmar,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Pada awalnya, mangsa ingin bekerja di Singapura bersama seorang kawan namun bapanya tidak mahu mengambil risiko membuat pasport.

Berikutan itu mangsa dibenarkan bekerja di Johor sahaja dan menetap dengan makciknya.

“Ketika dibawa masuk ke Myanmar, mangsa hanya berumur 17 tahun. Kami mengesyaki dia dibawa keluar dari Malaysia menggunakan jalan tikus kerana bapa mangsa telah mengesahkan anaknya tidak dibenarkan membuat pasport.

“Ibu bapa mangsa pada awalnya tidak membuat sebarang laporan polis kerana anak mereka meyakinkan mereka untuk tidak bimbang kerana kontrak kerja di situ hanyalah setahun dan selepas tamat tempoh, dia akan dibenarkan pulang.

“Walau bagaimanapun, syarikat itu telah memungkiri janji, anak mereka tidak dilepaskan malah diminta untuk membayar sejumlah wang kononnya untuk urusan penghantaran pulang mangsa,” tambahnya.

Hishamuddin berkata, dua laporan polis telah dibuat keluarga.

Laporan pertama dibuat di Baalai Polis Skudai pada 25 Oktober tahun lalu ketika mangsa hilang di Johor manakala laporan kedua dibuat di Balai Polis Nibong Tebal selepas kegagalan syarikat itu menepati janji, ujarnya.

Ibu mangsa yang berusia 42 tahun berkata, kali terakhir dia dapat menghubungi anaknya adalah semalam dan dalam panggilan itu, anaknya merayu agar bayaran dibuat segera.

“Dia ada beritahu saya dia akan dijual ke tempat lain kalau tidak bayar. Dia cakap sambil menangis, mengadu keadaan di sana sangat teruk dan dia mahu cepat pulang sahaja.

“Saya tiada wang sebanyak itu kerana saya adalah suri rumah sepenuh masa manakala suami hanyalah seorang pemandu lori. Disebabkan saya buntu, saya telah meminta bantuan MHO dan kedutaan Myanmar serta Malaysia di sana bantu bawa anak saya pulang ke pangkuan keluarga dengan segera,” tambahnya,

Hishamuddin juga telah menggesa mana-mana keluarga mangsa sindiket pemerdagangan manusia untuk tidak melakukan sebarang pembayaran dan kurangkan berhubungan dengan mangsa.

“Jangan bayar apa-apa. Kalau kita bayar, sindiket ini akan tahu anak mereka adalah sesuatu yang berharga. Kita nak sindiket rasa macam anak ini ‘tiada nilai’ kalau tidak, mereka akan terus meminta wang walhal mangsa tidak pun dilepaskan.

“Kami bertegas dan tidak menyokong mana-mana pihak yang membayar wang tebusan. Kerana kami mempunyai kaedah tersendiri untuk menyelamatkan mangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top