nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan memaklumkan remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol suka sama suka akan diambil tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bermula Oktober lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, bagi wanita yang bukan kategori bawah umur namun melakukan perbuatan amang seksual secara suka sama suka juga akan turut dirujuk kepada JAHEAIK.
“Kita sudah mengadakan mesyuarat dengan JAHEAIK dua bulan lalu susulan mendapat titah daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta kerjasama dilakukan di antara PDRM dengan JAHEAIK bagi menangani isu berkenaan.
“Sejak dua bulan lalu, kita sudah merujuk lima remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol suka sama suka untuk diambil tindakan olej JAHEAIK.
“Bagi pihak lelaki kita tuduh di mahkamah namun disebabkan tiada undang-undang untuk remaja perempuan bawah umur diambil tindakan, maka kita rujuk kepada JAHEAIK,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, dengan pendekatan yang dilakukan itu diharap dapat menangani masalah jenayah rogol dan amang seksual suka sama suka.
“Sekarang ini trend kes rogol menurun, saya tidak tahu sama ada pihak keluarga atau mangsa enggan membuat laporan polis atau sebaliknya.
“Namun kes terbaru kes rogol pun pihak hospital yang membuat laporan polis kerana remaja berkenaan sudah mengandung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






