Remaja hilang dikesan di rumah kawan di Jasin

Remaja hilang dikesan di rumah kawan di Jasin


SEPANG: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Sungai Pelek di sini pada Ahad lalu akhirnya ditemukan selamat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, remaja dikenali sebagai Nurkhairah Hawabillah Abdul Latif, 15, itu berjaya dikesan di rumah kawannya di Jasin, Melaka.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira pukul 6 pagi tadi.

“Berita kehilangan mangsa diketahui oleh bapa kawannya selepas melihat kenyataan akhbar kehilangan mangsa di saluran media.

“Remaja itu dijumpai dalam keadaan baik dan selamat sebelum diserahkan kepada ibu bapanya pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya berterima kasih atas segala kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga remaja itu dijumpai semula.

Beliau pada masa sama mengingatkan ibu bapa supaya mengambil maklum dengan siapa anak-anak berkawan.

“Sila ambil tahu dengab siapa anak kita berkawan kerana pengaruh kawan-kawan ini kuat,” katanya.

Sebelum ini, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selama sembilan hari selepas keluar dari rumah ibu saudaranya di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang.

Bagaimanapun, mangsa akhirnya ditemui selamat di sebuah restoran di Batu 9 Cheras, Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top