Remaja hilang pendengaran sementara akibat bunyi cengkerik

Remaja hilang pendengaran sementara akibat bunyi cengkerik

Remaja hilang pendengaran sementara akibat bunyi cengkerik


Beijing: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di China mengalami kehilangan pendengaran sementara dan memerlukan rawatan selepas terdedah kepada bunyi cengkerik bernada tinggi selama lebih empat jam, lapor Oddity Central.

Remaja berkenaan, Wang, pergi berkhemah di sebuah hutan di Ningbo, wilayah Zhejiang, sebelum terdedah kepada bunyi ratusan ekor cengkerik selama beberapa jam sehingga menjejaskan pendengarannya.

Wang menyedari bunyi cengkerik menjadi lebih kuat sekitar tengah hari, namun kekal di hutan sehingga petang sebelum mengalami bunyi berdengung dan telinganya rasa tersumbat.

Difahamkan, apabila cengkerik mula senyap, dia menyedari tidak dapat mendengar kicauan burung, malah bunyi notifikasi daripada telefonnya.

Bimbang kehilangan pendengaran sepenuhnya, Wang segera ke hospital dan pemeriksaan mendapati kedua-dua telinganya mengalami bengkak.

Dia kemudian diberikan ubat untuk mengurangkan bengkak dan dinasihatkan mengelakkan bunyi bising sekurang-kurangnya selama 14 hari, sebelum pulih sepenuhnya selepas dua minggu.

Pakar kanan Jabatan Otorinolaringologi Hospital Gabungan Pertama Universiti Ningbo, Dr Li Ji berkata, ramai orang tersilap menganggap bunyi alam semula jadi tidak berbahaya kepada telinga.

“Sel rambut dalam koklea boleh mengalami edema akibat rangsangan bunyi bising dalam tempoh yang agak singkat dan biasanya pulih selepas mengelakkan persekitaran bising serta berehat selama satu hingga dua minggu.

“Bagaimanapun, jika sel rambut menjadi nekrotik, ia tidak boleh menjana semula dan gangguan pendengaran yang berlaku adalah kekal serta tidak boleh dipulihkan, menyebabkan pesakit terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran untuk mendapatkan bantuan auditori,” katanya.

Cengkerik diiktiraf sebagai serangga paling bising di dunia, namun seekor cengkerik tidak menyebabkan kerosakan pendengaran kerana bunyi kliknya jarang melebihi 70 desibel.

Namun, sekumpulan cengkerik boleh menghasilkan bunyi melebihi 85 desibel, iaitu ambang yang mengundang risiko kerosakan pendengaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top