am@hmetro.com.my
Nilai: Enam remaja dan kanak-kanak lelaki cemas apabila terperangkap di atas batu di tengah Sungai Batang Labu Batu 9 dekat, Kampung Tebing Tinggi, di sini, petang tadi.
Sebelum itu mereka dikatakan bermain di kawasan berbatu sungai berkenaan sebelum hujan lebat yang menyebabkan arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 5.09 petang dan sepasukan sembilan anggota ke lokasi.
“Turut membantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pelegong.
“Seramai enam mangsa membabitkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, tiga remaja berusia 14 tahun dan dua lagi berusia 16 serta 17 tahun yang terperangkap di atas batu sungai akibat arus deras atau kepala air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, anggotanya menggunakan teknik penyelamatan ‘high line technique’ untuk membawa keluar mangsa ke tempat selamat dengan menggunakan jaket keselamatan.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 6.40 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd