BACHOK: Seorang remaja yang maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap sebatang pokok kelapa tumbang dalam kejadian di Kampung Permatang Pasir, Gunong di sini hari ini sedang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ibu mangsa, Raja Ruhana Raja Mejan, 53, berkata, anaknya, Nik Mohd. Haikal Abdul Rahim, 17, tidak sempat menghabiskan peperiksaan itu yang akan bersambung pada minggu depan apabila disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Katanya, sebelum kejadian, Nik Mohd. Haikal keluar rumah dengan menunggang motosikal jenis Modenas Kris miliknya kerana motosikal yang diberi untuk kegunaan arwah rosak.
“Saya dimaklumkan oleh salah seorang rakan anak bahawa Nik Mohd. Haikal dihempap sebatang pokok kelapa ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 6.30 petang.
“Luluh hati saya apabila melihat jasad arwah sudah ditutup dengan kain sewaktu tiba di lokasi kejadian. Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sehingga menyebabkan Nik Mohd. Haikal yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Bachok di sini sebentar tadi.
Raja Ruhana memberitahu, arwah merupakan anaknya yang ketiga meninggal dunia dalam keluarga dan kini dia hanya mempunyai seorang anak perempuan.
Menurutnya, jenazah arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mujur, Jelawat di sini selepas proses bedah siasat di Hospital Bachok di sini selesai.-UTUSAN






