am@hmetro.com.my
Kuching: Remaja lelaki berusia 17 tahun maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di Kilometer (km) 2, Jalan Bau-Kuching, berhampiran simpang masuk Kampung Buso, di Bau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bau akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu.
Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun dipercayai memotong kenderaan di hadapan.
“Pada masa yang sama, motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dan pemandu gagal mengelak motosikal itu.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haide berkata, pemandu kereta hanya cedera ringan di lengan manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat yang dijadualkan pagi esok.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya lagi, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka diperoleh di lokasi kejadian.
“Kedua-dua kenderaan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM dan Jabatan Kimia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






