harisfadli@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Seorang remaja berusia 18 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13.1 Lebuhraya Guthrie arah selatan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam, 2.48 pagi tadi.
“Kejadian berlaku apabila motosikal mangsa melanggar bahagian belakang sebuah SUV di lorong kedua dari kanan lalu jatuh ke atas jalan raya.
“Pemandu SUV terbabit tampil membuat laporan 12.10 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan daripada Rawang ke Shah Alam.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan atau saksi kejadian diminta tampil menghubungi Inspektor Hasanal Hasis Johari di taliam 0192264659 bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd