am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kegembiraan enam remaja bercuti berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemukan maut selepas terjatuh ke tingkat enam daripada tingkat 14 di sebuah pangsapuri, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 17 tahun ditemui dalam keadaan terlentang oleh seorang pekerja bahagian kebersihan di pangsapuri berkenaan, tengahari ini.
Mangsa dari Machang, Kelantan, dikatakan datang bercuti di bandaraya Kuala Terengganu dan menyewa di sebuah rumah di tingkat 14 di pangsapuri berkenaan, semalam.
Mangsa sepatutnya keluar daripada rumah itu pada Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Nor mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menerima laporan daripada orang awam, kira-kira jam 12.30 tengahari.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.
“Kita mengiklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dalam siasatan.
“Kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa untuk urusan tuntutan jenazah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd