ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejayaan skuad remaja negara meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, menjadi petanda bahawa masa depan sukan berkenaan berada di landasan tepat.
Lebih manis, Malaysia muncul juara keseluruhan kejohanan sekali gus membuktikan kesinambungan bakat masih kukuh, selain mengukuhkan status sebagai kuasa besar Asia dan dunia dalam sukan itu.
Pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok menyifatkan pencapaian di Doha adalah hasil pembangunan akar umbi yang tersusun dan sistem yang terus berkembang secara positif.
“Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka. Jurulatih Azidi Ameran dan Alex Liew memainkan peranan besar dalam memastikan pemain kekal fokus sepanjang kejohanan, sesuatu yang bukan mudah,” katanya.
Menurut Maradona, skuad kali ini membabitkan gabungan pemain pelapis kebangsaan dan atlet negeri memandangkan bilangan pemain bawah 18 tahun dalam skuad sedia ada tidak mencukupi, terutama bagi kategori lelaki.
“Kejohanan ini membenarkan setiap negara menghantar lapan pemain lelaki dan lapan perempuan untuk membentuk Pasukan A dan B. Jadi kami ambil peluang ini untuk memberi pendedahan kepada seramai mungkin pemain dari pelbagai negeri,” katanya.
Skuad wanita Pasukan A yang sepenuhnya terdiri daripada pemain skuad remaja kebangsaan, mempamerkan aksi cemerlang dengan bintang utama, Qurratu’ain Izdihar Pozi menyapu bersih lima pingat emas yang dipertandingkan.
Pasukan B yang diwakili sepenuhnya oleh pemain negeri turut cemerlang apabila menyumbang gangsa berpasukan.
Dalam kategori lelaki, Pasukan A hanya dibarisi dua pemain pelapis kebangsaan namun anak jati Pulau Pinang, Muhammad Aqil Faizal menyerlah apabila menggondol dua emas dalam acara berpasukan dan Masters serta dua gangsa dalam acara individu dan All Events.
Pasukan B turut menyinar menerusi gandingan Muhammad Affan Azmi dan Kho Yek Zhen yang meraih gangsa dalam acara beregu.
“Kejayaan ini membuktikan sekali lagi bahawa kita memiliki sistem pembangunan akar umbi bertaraf dunia dan program yang mampan,” kata Maradona.
“Elemen utama adalah Liga Remaja Kebangsaan yang kukuh hasil kerjasama dengan semua pemegang taruh. Pusingan terbaru di Perak menyaksikan penyertaan seramai 956 pemain.
“Pemain negeri yang terpilih ke Doha adalah antara yang terbaik daripada Liga Remaja. Mereka melalui sesi pemilihan roll off yang kompetitif bagi mendapatkan tempat dalam skuad.”
Gabungan pemain pelapis kebangsaan dan bintang muda negeri ini jelas memberi sinar harapan baharu kepada skuad boling negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa utama di peringkat Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd