nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Seorang bapa yang menikam anaknya berusia 11 tahun di Pasir Mas pada 2 Mei lalu kini disambung reman selama seminggu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek disambung reman bermula semalam sehingga Jumaat ini.
“Suspek disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Keadaan mangsa yang ditikam kini stabil dan sudah sedarkan diri namun masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera dipercayai ditikam bapa kandungnya sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dilaporkan mempunyai masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatrik sejak dari tahun 2008 sehingga kini.
Punca kejadian dipercayai akibat krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga, yang mana kes itu dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






