Reman suami isteri dera anak disambung 4 hari lagi

Reman suami isteri dera anak disambung 4 hari lagi



am@hmetro.com.my

Chukai: Reman suami isteri yang disyaki mendera dua anak mereka dalam kejadian di Jalan Jabur Kubur, dekat sini disambung empat hari lagi sehingga Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perintah reman baharu itu dibuat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Sebelum ini, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 39 dan 26 tahun itu direman selama enam hari sehingga hari ini dan kita mendapat kebenaran menyambung reman kedua-dua suspek iaitu ibu kandung dan bapa tiri mangsa sehingga Selasa ini.

“Ia bagi melengkapkan siasatan terhadap kes disyaki penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan abangnya yang berusia tujuh tahun.

“Polis juga dalam proses mendapatkan laporan perubatan kedua-dua mangsa serta keterangan daripada pakar kanak-kanak bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, polis menahan pasangan suami isteri selepas mendapat aduan kedua-dua suspek disyaki mendera kedua-dua anak mereka.

Aduan daripada orang awam yang mendakwa melihat salah seorang suspek menyepak dan menampar pipi salah seorang mangsa berulang kali di hadapan rumahnya.

Selain terdapat kecederaan baharu dan lama di bahagian badan kedua-dua mangsa, polis turut menemui kesan gigitan pada tangan kanak-kanak perempuan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top