Remuk hati ibu anak tak dapat ambil UPKK

Remuk hati ibu anak tak dapat ambil UPKK


nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Langat: “Remuk rasa hati ini apabila dimaklumkan anak tidak dapat mengambil Ujian Penilaian Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 memandangkan anak sudah bersemangat untuk mendudukinya,” kata Siti Khadijah Mohd Dahari, 40.

Anak Siti Khadijah, Hanaz Qawiem Haniz Fatihin, 11, antara 80 murid di sebuah sekolah rendah agama swasta yang tidak didaftarkan untuk mengambil peperiksaan itu.

Ia susulan sekolah berkenaan didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi pelaksana Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) negeri.

Menurut Siti Khadijah, dia merancang untuk menghantar anak sulung daripada dua beradik berkenan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab.

“Setiap kali saya balik kampung bersama anak, kami akan lalu MRSM Ulul Albab di Gemencheh, Negeri Sembilan. Saya beritahu dia akan masukkannya ke sana asalkan dia belajar bersungguh-sungguh.

“Namun saya terkilan apabila pihak sekolah maklumkan anak tidak dapat didaftarkan untuk mengambil UPKK. Bagaimana dia dapat masuk ke situ (MRSM Ulul Albab) apabila tiada sijil UPKK?,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama kira-kira 40 ibu bapa murid terbabit di Bandar Saujana Putra, di sini, semalam.

Siti Khadijah yang juga seorang jurutera berkata, beliau memilih sekolah itu berdasarkan maklum balas daripada ibu bapa lain yang berpengalaman menghantar anak mereka ke sekolah terbabit.

“Saya ada buat semakan dan mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa lain yang hantar anak mereka ke sekolah itu. Mereka maklumkan sekolah berkenaan antara sekolah cemerlang.

“Saya juga ada dimaklumkan bahawa murid sekolah berkenaan sebelum ini ambil UPKK di sekolah lain, namun ia tidak menjadi masalah kepada saya asalkan dia menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah menjangkakan masalah itu akan timbul memandangkan anaknya ada mengambil peperiksaan percubaan serta amali seperti biasa.

“Sewaktu saya mula-mula mengetahui yang anak tidak didaftarkan ambil UPKK, saya tidak beritahu anak dulu kerana mahu cari usaha bagi menyelesaikan masalah itu.

“Namun saya rasa tidak adil untuk tidak beritahu dia. Anak amat sedih apabila saya beritahu apa yang terjadi memandangkan dia sudah meletakkan sasaran mahu mendapatkan 9A dalam peperiksaan itu,” katanya.

Beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam permasalahan itu, namun dia tidak mahu pihak berkaitan seperti lepas tangan berhubung isu berkenaan.

“Dalam perkara ini, anak kami yang menjadi mangsa dan masa depan mereka dipertaruhkan. Justeru itu, saya mohon semua pihak tampil bagi menyelesaikan masalah ini.

“Besar harapan saya supaya semua 80 murid ini tetap dapat menduduki peperiksaan UPKK pada 17 hingga 20 November ini tanpa perlu tangguh sehingga tahun depan,” katanya.

Menurut ibu bapa terbabit, mereka membayar yuran sekolah itu antara RM110 hingga RM320 sebulan bergantung kepada pakej pembelajaran diambil untuk anak-anak.

Difahamkan 15 ibu bapa membuat laporan berhubung isu berkenaan di Balai Polis Bandar Saujana Putra pada 2 November lalu.

Sementara itu, Harian Metro cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak sekolah berkenaan.

Namun sehingga kini, pihak sekolah terbabit tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap isu berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top