Pelakon popular, Remy Ishak menegur segelintir peminatnya apabila ramai yang ‘menjual’ nama saudara-mara mereka setiap kali mahu mengambil gambar bersamanya.
Kata Remy menerusi hantaran di TikTok, dia mempersoalkan tindakan individu yang bersikap sedemikian apatah lagi meminta izin untuk merakamkan momen bersama dengannya bukalah satu kesalahan.
“Pak cik saya minat Abang Remy dia suruh saya ambil gambar. Abang Remy mak cik saya suruh ambil gambar, Atok saya suka, mak saya minat sangat dengan Abang Remy, mak saya suruh ambil gambar.
“Kenapa ya setiap kali saya keluar, saya jumpa benda-benda macam ni. Kenapa kau orang tak terus je cakap ‘Abang Remy saya peminat, saya nak ambil gambar’… Kenapa tak macam tu? Kenapa babitkan orang yang tak ada disekeliling tu? Kenapa babitkan saudara mara kau orang? Cakap je lah kau orang nak ambil gambar,” soalnya.
Tegasnya, selepas ini dia tidak akan melayan permintaan peminat yang menggunakan alasan sama setiap kali dia keluar ke tempat awam.
“Lepasni, kalau siapa-siapa jumpa saya cakap mak saudara, pak cik semua nak ambil gambar, lantaklah! Saya tak nak ambil gambar dah. Saya tak layan.
“Kalau mereka minat, biar mereka je datang jumpa saya. Mereka tak jumpa saya, no gambar! Settle,” katanya.





